Seriau juga tengok video yang tular di laman sosial X/Twitter, hasil rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang dirakam dari arah belakang. Kejadian berlaku di Lebuhraya Kesas berhampiran Awan besar yang memaparkan sebuah Toyota Camry yang merempuh Honda City yang sedang bergerak di lorong tengah.
Berdasarkan rakaman kamera berkenaan, kejadian berkenaan berlaku semalam, 14 Ogos, jam 2.36 petang, dan menunjukkan kereta perakam bergerak sekitar 75 km/j pada saat berlaku pelanggaran antara kedua-dua kereta yang terlibat.
Camry berkenaan kelihatan dipandu agak laju, sebelum merempuh City, hingga membuatkan ia terus terbalik di lorong tengah dan kemudian ‘terhempas’ hingga ke kawasan berumput di sebelah kiri. Manakala City pula terus melanggar tembok di bahagian kiri dan mujur juga tiada kenderaan di lorong kiri pada waktu itu. Akibat impak pelanggaran, kedua-dua Camry dan City tersebut kelihatan mengalami kerosakan teruk.
Meneliti rakaman terbabit, Camry berkenaan yang datang dari arah belakang bergerak dari lorong kanan, tersasar ke lorong tengah, seperti hilang kawalan, atau pun mungkin juga pemandunya mengalami microsleep. Tidak diketahui bagaimana keadaan pemandu (dan mungkin ada penumpang) kedua-dua kereta berkenaan.
Untuk pengetahuan anda, faktor utama berlakunya microsleep adalah kerana kurang tidur dan badan terlalu penat. Antara tanda-tanda microsleep ialah kelopak mata rasa berat, mata berkelip lebih dari biasa, menguap berlebihan, mengelamun, tersasar dari lorong dan fokus pemanduan kian menyusut.
Menurut Facebook Public Health Malaysia, microsleep boleh terjadi tanpa amaran, apabila badan letih, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat walau pun mata kita terbuka dan tangan masih memegang stereng. Lebih membimbangkan, akibat terkejut selepas terjaga dari microsleep, anda akan tersentak dan mempunyai risiko kekejangan.
Justeru, untuk mencegah daripada terjadinya kejadian yang tidak diingini, anda dinasihati untuk berhenti di tempat selamat seperti di kawasan R&R, lakukan power nap sekurang kurangnya 5 hingga 20 minit, berehat setiap dua jam perjalanan dan bergilir memandu sekiranya ada penumpang yang boleh memandu dan mempunyai lesen.
Kemalangan ptg tadi.. lokasi Kesas Highway sebelum R&R Awan Besar hala Shah Alam.. moga dipermudahkan segala urusan..
Kredit dc owner pic.twitter.com/mOU8Z9W1O4
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) August 14, 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.