SUV segmen-B Geely Coolray secara rasminya dilancarkan di Indonesia hari, ini ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026. Dan seperti apa yang kami laporkan tempoh hari serta apa yang kami nampak depan mata hari ini, tidak seperti dua model EV yang sudah dilancarkan sebelumnya yang merupakan model CKD yang dipasang di Bekasi, model pertama Geely dengan enjin pembakaran dalam di Indonesia ini diimport sepenuhnya dari kilang Proton di Tanjong Malim, Malaysia.
Geely Coolray ditawarkan hanya dalam dua varian di Indonesia, iaitu varian asas Standard dijual pada harga Rp 333 juta (RM75,278) dan juga varian tertinggi Flagship berharga Rp 377 juta (RM85,226). Sebagai perbandingan, Proton X50 dijual pada harga bermula RM85,800 hingga RM109,300. Dengan setiap pembelian, Geely Coolray diberikan perlindungan waranti selama enam-tahun atau 150,000 km, bersama servis percuma sebanyak empat kali atau 50,000 km, serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
Seperti yang kita tahu, Coolray bukanlah model baharu dari Geely di mana ia sudah mula dijual di China sejak 2018 dengan nama Geely Binrui, serta telah dijelmakan sebagai Proton X50 di Malaysia dan dilancarkan pada 2020. Manakala model yang dijual di Indonesia ini menampilkan spesifikasi yang sama seperti Coolray pasaran Afrika Selatan yang baru sahaja dilancarkan bulan lalu, di mana ia menampilkan rupa luaran Proton X50 pre-facelift yang digandingkan dengan set rim, spoiler belakang kabin dan juga unit rangkaian kuasa dari X50 faceliftterbaharu.
Ini bermakna bahagian luaran Coolray 2026 pasaran Indonesia ini diberikan lampu hadapan, serta bampar, lampu dan pintu tailgate belakang yang sama seperti Proton X50 keluaran 2020. Sekali tengok memang macam X50 pre-facelift, tapi jika anda lihat dengan teliti ia menampilkan sedikit kelainan di mana Coolray pasaran Indonesia ini menerima bampar hadapan Geely Binyue facelift 2021 yang nampak lebih garang, manakala di belakang panel diffuser bawah bampar yang juga nampak lebih agresif tetapi tidak menonjolkan empat tip ekzos yang seperti X50.
Manakala untuk set roda, Coolray pasaran Indonesia ini menerima rim 18-inci yang sama seperti versi terkini X50 facelift di Malaysia, tetapi menerima kemasan hitam sepenuhnya, dibalut dengan tayar Giti. Satu lagi perincian yang turut di ambil dari X50 2025 iaitu spoiler belakang ‘S’ bersaiz besar. Tidak terdapat sebarang perapi krom pada badan Coolray pasaran Indonesia ini memberikan imej yang cukup garang.
Geely Indonesia memilih warna Teal Bayou Green sebagai warna hero untuk Coolray di sana, iaitu warna yang sama ditawarkan untuk X50 dan juga S70 di Malaysia. Dan bukti yang paling kukuh bahawa ia diimport dari Malaysia, Geely Coolray pasaran Indonesia ini menampilkan plat VIN yang tertera . Namun cop-cop jenama Geely masih tertera pada cermin, bukan dicetak dengan logo Proton.
Manakala pada bahagian dalaman, Coolray pasaran Indonesia diberikan papan pemuka minimalis sama dengan Proton X50 facelift iaitu dengan menampilkan skrin leper untuk paparan instrumen digital serta tombol gear konvensional yang digantikan dengan pemilih gear pada kolum stereng – sebelum ini Proton menyatakan bahawa bahagian dalaman ini direka semula sendiri, bukan diambil dari mana-mana versi Geely.
Antara perincian yang diberikan Geely Coolray 2026 pasaran Indonesia ini termasuk tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, bumbung suria panaromik, pengecas tanpa wayar Qi, kamera 360-darjah dengan fungsi grafik telus cahaya, brek kecemasan automatik serta cruise control adapatif – di mana semua ini telahpun ditawarkan pada X50 di Malaysia.
Seperti yang disebut tadi, unit rangkaian kuasa bagi Coolray Indonesia ini juga adalah sama dengan versi terkini Proton X50 di Malaysia, menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder TGDI, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat.
Angka kuasa yang diumumkan adalah sama seperti versi pasaran Afrika Selatan iaitu 174 PS dan tork maksima 290 Nm, sedikit rendah berbanding model pasaran Malaysia yang menghasilkan 181 PS/290 Nm. Menurut Geely padanan ini membolehkan Coolray pasaran Indonesia mencapai penggunaan bahan api 6.5 litet/100km.
Di Indonesia Geely Coolray ini akan berhadapan terus dengan model seperti Honda HR-V, Mitsubishi Xforce dan Hyundai Creta. Dua dari saingannya itu hanya ditawar dengan enjin 1.5L NA bersama kotak gear CVT, di mana HR-V (tidak termasuk varian hibrid, tiada lagi varian Turbo di sana) dijual pada harga sekitar Rp 400 juta, dan Xforce dijual pada sekitar Rp 380 juta hingga Rp 430 juta.
Hanya Creta N Line digerakkan dengan enjin 1.5 liter turbo, namun angka kuasanya lebih rendah iaitu 160 PS/253 Nm, dijual pada harga jauh lebih mahal iaitu Rp 521 juta. Ada juga pesaing senegara bakal bersaing dengan Coolray di sana seperti Chery Omoda 5 GT yang digerakkan dengan enjin lebih berkuasa unit 1.6 liter empat turbo berkuasa 197 PS dan tork maksima 290 Nm, namun ia turut dijual pada harga lebih tinggi bermula Rp 459 juta hingga Rp 499 juta.










