Kia Seltos 2026 dilancar di Indonesia – model generasi baru dengan enjin 1.5L NA, 3 varian, bermula RM81k

Kia Seltos generasi kedua secara rasmi telah dilancarkan di Indonesia ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026, di mana ia diperkenal hanya sekitar tujuh bulan selepas model ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Disember tahun lalu. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Trendy berharga 359 juta rupiah (sekitar RM81k), Prestige+ ADAS berharga 417 juta rupiah (RM94k) dan GT Line berharga 469 juta rupiah (RM106k).

Seltos generasi kedua ini di bina berasaskan platform K3, dihasilkan lebih besar dari generasi sebelumnya dengan menampilkan dimensi panjang 4,460 mm, lebar 1,830 mm, tinggi antara 1,630 dan 1,635 mm serta jarak roda sejauh 2,690 mm. Berbanding model generasi pertama, Seltos baharu ini menampilkan rekaan yang lebih bersegi serta dipadankan dengan gril hadapan lebih lebar, rekaan lampu ‘Star Map’, pembuka pintu tenggelam dan juga lampu belakang yang direka melintang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

Ketiga-tiga varian Seltos pasaran Indonesia ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin Smartstream Gamma II 1.5 liter empat-silinder NA Dual CVVT berkuasa 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT pintar Kia yang digelar sebagai IVT untuk memacu roda hadapan.

Kia Seltos 2026 dilancar di Indonesia – model generasi baru dengan enjin 1.5L NA, 3 varian, bermula RM81k

Pada sebelah dalam, Seltos turut menerima rekaan seperti model-model baharu kia yang lain di mana papan pemukanya menampilkan satu skrin panjang dari tengah hingga ke bahagian pemandu yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 12.3-inci di tengah untuk sistem infotainmen, 12.3 inci pada bahagian hujung untuk paparan instrumen digital, manakala yang kecil ‘terselit’ di antara dua tersebut adalah untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Walaupun sudah diberikan skrin gergasi, Seltos turut diberikan suis-suis fizikal untuk kawalan audio dan pendingin hawa di konsol tengah agar memudahkan capaian untuk pemandu.

Unit yang dipamerkan di GIIAS ini merupakan dari varian GT Line yang dilengkapi semua perincian yang disebutkan tadi. Dan untuk varian asas Trendy, ia dibekalkan dengan kelengkapan seperti rim aloi 17-inci ‘Crystal Cut’ bersama tayar 215/60 R17, lampu hadapan LED pelbagai relektor, lampu belakang LED, paparan instrumen dengan skrin pelbagai info 4.2-inci, upholsteri gabungan kain dan kulit sintetik, tempat duduk hadapan larasan manual, tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bersama perehat tangan di tengah, pendingin hawa manual, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin dan penghidup enjin jarak jauh, skrin infotaimen lapan-inci dengan enam pembesar suara, serta enam beg udara, pemantau tekanan angin tayar penderia parkir dan kamera undur.

Kia Seltos 2026 dilancar di Indonesia – model generasi baru dengan enjin 1.5L NA, 3 varian, bermula RM81k

Bagi varian pertengahan Prestige+ ADAS pula, ia diberikan upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pengalir udara untuk tempat duduk hadapan, pendingin hawa dua zon, skrin infotainmen 12.3-inci, penderia parkir hadapan serta pakej sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk cruise control adaptif dengan stop & go, amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, bantuan dan pengekal lorong, pengelak pelanggaran titik buta, pengehad kelajuan manual dan pengingat penumpang belakang.

Untuk varian tertinggi GT Line pula, ia datang dengan rim aloi 18-inci ‘Sporty Crystal Cut’ dengan tayar 215/55R18, lampu hadapan LED projektor, lampu kabus hadapan LED, bumbung panaromik, pad pengecas tanpa wayar, pengelap cermin automatik, sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara, pemantau sekeliling serta pemantau titik buta.

Seltos pasaran Indonesia ini boleh dipilih dengan warna badan Glacier White Pearl, Ivory Silver Gloss, Aurora Black Pearl, Morning Haze, Gravity Gray dan Magma Red. Setiap warna ini juga didatangkan sekali dengan corak tempat duduk spesifik serta skema warna dua tona. Setiap pembelian dilindungi dengan waranti kenderaan selama tujuh-tahun atau 200,000 km serta servis penyelenggaraan percuma selama empat tahun.

Mungkin ada yang tak perasan bahawa Kia Seltos generasi pertama pernah dijual secara rasmi di Malaysia. Namun dengan spesifikasi dan juga harga yang kurang kompetitif agak sukar untuk kita lihat Seltos berada di atas jalan raya di sini. Namun Kia sekarang dikendalikan sendiri oleh syarikat induknya di Malaysia dikenali sebagai Kia Sales Malaysia dan telah mengatur semula model-model yang dijual dengan menawarkan harga yang jauh lebih munasabah. Mungkin Seltos generasi kedua ini turut akan di bawa ke sini oleh KSM?

Tags: ,