Leapmotor masuki pasaran Indonesia dengan B10, C10 –  spesifikasi sama seperti M’sia, diedar oleh Indomobil

Leapmotor telah memasuki pasaran Indonesia apabila jenama ini secara rasminya dilancarkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 yang sedang berlangsung. Jenama ini memutuskan untuk memperkenalkan SUV elektriknya (EV) B10 dan C10, seperti mana yang turut ditawarkan di pasaran Malaysia.

Adakah ia merupakan unit import CBU dari Gurun, Kedah, lokasi fasiliti pengeluaran milik Stellantis yang memegang kepentingan dalam Leapmotor dan memasarkan produk pembuat kereta tersebut di luar China?

Untuk pengetahuan anda, model Leapmotor untuk pasaran negara jiran kita itu diedarkan oleh Indomobil, yang sememangnya mengendalikan jenama lain milik Stellantis seperti Jeep dan Citroën. B10 dan C10 akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Indomobil di Purwakarta, Jawa Barat. Pada awal bulan ini, bilik pameran Leapmotor yang pertama telah dibuka di Pantai Indah Kapuk (lebih dikenali sebagai PIK) di Jakarta Utara.

Leapmotor masuki pasaran Indonesia dengan B10, C10 –  spesifikasi sama seperti M’sia, diedar oleh Indomobil

Walau bagaimana pun, kami difahamkan bahawa spesifikasi B10 dan C10 akan sama seperti yang ditawarkan di Malaysia. Dari segi harga, B10 dalam segmen-C ditawarkan pada harga runcit disyorkan (RRP) sebanyak Rp499 juta (RM112,982), manakala C10 yang lebih besar dijual pada harga Rp618 juta (RM139,927). Terdapat harga istimewa untuk 500 pembeli pertama bagi setiap model, iaitu masing-masing Rp449 juta (RM101,649) dan Rp598 juta (RM135,351).

Sebagai konteks, di Malaysia, B10 Design (Indonesia hanya menerima varian berspesifikasi tinggi ini, tanpa varian Life) berharga RM109,800. C10 kini dipasang secara tempatan di Gurun, dan model CKD tersebut dijual pada harga RM129,000. B10 pula merupakan model seterusnya yang akan menjalani pemasangan CKD, dan berkemungkinan varian asas Life akan dihentikan (diskaun besar kini ditawarkan untuk unit CBU), menjadikan Design satu-satunya varian yang ditawarkan.

Mengenai persoalan mengapa ia tidak dieksport sebagai unit CBU dari Malaysia, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, sebelum ini memberitahu paultan.org bahawa eksport dari Gurun memang “sentiasa dalam perancangan”, tetapi kos dan kualiti perlu diselaraskan terlebih dahulu, selain proses lokalisasi yang lebih mendalam perlu dilaksanakan.

Yeo menjelaskan bahawa selain Malaysia pada masa ini tidak mempunyai ekosistem EV dan bateri, tiada insentif cukai khas di bawah AFTA untuk mengeksport EV ke negara jiran di ASEAN. Walaupun begitu, Stellantis merancang untuk menggunakan sepenuhnya kapasiti kilang Gurun sebanyak 60,000 unit setahun pada masa hadapan (bukan hanya untuk Leapmotor), dan eksport tersebut akan diperluaskan ke luar ASEAN.