Toyota GR86 menerima satu lagi kemaskini untuk tahun 2026 di Jepun, menampilkan beberapa tingkat taraf dan juga warna badan baharu. Menurut Toyota, kemaskini terbaharu ini juga diberikan sempena GR86 yang kini merupakan model paling laris dalam barisan model GR sebenar, dengan jumlah jualan sekitar 110,000 unit sejak ia dilancarkan pada 2021.
Tiada perubahan rupa luaran yang boleh dilihat pada model diberikan, selain dari pilihan warna kelabu baharu yang digelar sebagai Solid Gray. Manakala pada sebelah dalam, GR86 2026 dalam varian tertinggi RZ diberikan suis yang direka semula bagi membolehkan jari tangan lebih melekap. Suis-suis berkenaan juga kini menerima kemasan berwarna hitam besi tuang yang tidak membalikkan cahaya.
Bagi pilihan tema warna dalaman hitam-merah, serlahan merah kini turut ditambah pada bahagian sokongan sisi tempat duduk selain pada karpet kaki dan panel pintu yang sebelum ini sudah pun diberikan.
Tiada perubahan dibuat pada enjin NA FA24D 2.4 liter boxer empat-silinder yang masih berkhidmat di mana enjin ini menghasilkan kuasa 235 PS dan juga tork maksima 250 Nm, dan pembeli masih boleh memilihnya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan.
Namun Toyota membuat talaan semula pada kawalan pendikit bagi meningkatkan kadar ketepatannya. Menurut Toyota talaan yang dibuat ini bagi memberikan “pengendalian yang intuitif dan tindak balas yang mudah diagak apabila keluar dari selekoh, memandu di permukaan yang licin, seperti jalan basah atau dilitupi salji, dan dalam situasi lain yang memerlukan kawalan pecutan yang tepat.”
Selain itu Toyota turut membuat talaan semula pada sistem stereng kuasa bantuan elektrik (EPS) menerusi apa yang dipelajari dalam siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu di Jepun. Talaan terbaharu EPS ini disasarkan untuk menghilangkan rasa bergoyang pada roda stereng ketika mengambil selekoh kelajuan tinggi serta pada permukaan yang tidak rata bagi membolehkan pemandu mengawal input stereng dengan lebih jitu.
Manakala bagi versi dengan kotak gear manual, Toyota telah membesarkan ‘laluan’ pemilih gear sebanyak 0.5 mm antara gear-4 dan gear-5. Toyota menyatakan bahawa dengan perubahan yang dibuat ini membolehkan tukaran gear yang lebih lancar terutamanya ketika menurunkan gear untuk masuk ke selekoh, secara tidak langsung memberikan prestasi pemanduan yang responsif.
Sistem keselamatan turut menerima kemaskini di mana fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) diberikan konfigurasi tiga-kamera hadapan baharu, dengan kamera monokular sudut-ultra-luas kini berfungsi bersama kamera stereo sudut luas sedia ada. Ini membolehkan kamera berkenaan mengesan pada pandangan yang lebih luas dan meningkatkan kecekapannya.
Toyota turut mengumumkan menerusi model kemaskini, versi kereta lumba GR86 Cup Car Basic yang dijual untuk pasukan-pasukan lumba yang ingin menyertai siri perlumbaan ‘one-make’ GR86 Cup kini sudah ditawarkan dengan kotak gear automatik, di mana sebelum ini ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual. Toyota menyatakan bahawa langkah ini adalah untuk meluaskan lagi penyertaan siri perlumbaan tersebut kepada pelanggan.
Model kemaskini 2026 ini dijual pada harga bermula 2.936 juta yen (sekitar RM76k) untuk varian ‘kosong’ RC dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang biasanya dijual untuk diubahsuai menjadi jentera lumba. Manakala varian asas untuk jalan raya iaitu SZ pula dijual pada harga bermula 3.195 yen (RM83k) untuk versi manual dan 3.293 juta yen (RM85k) untuk versi automatik.
Varian paling tinggi untuk pasaran domestik Jepun ini iaitu GR86 RZ pula dijual pada harga bermula 3.518 juta yen (RM91k) untuk versi manual dan 3.616 juta yen (RM94k) untuk versi automatik. Toyota GR86 JDM 2026 ini akan mula dijual pada 28 Ogos nanti.



Toyota GR86
dari RM296,000
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800