
Kelmarin tular video yang memaparkan seorang lelaki warga asing yang memandu sebuah Toyota Hilux yang ditampal dengan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada pintu kenderaan dan juga turut menggunakan lampu mata arah (strobe light) di bawah bahagian cermin hadapan. Ekoran penularan video terbabit, petang semalam JIM telah menjalankan satu operasi khas di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur.
“Operasi berkenaan digerakkan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berdasarkan kepada maklumat video yang tular di media sosial berkaitan kenderaan berlogo jabatan dan mempunyai lampu mata arah yang digunakan oleh warganegara asing.
Hasil pemeriksaan dan serbuan tersebut, JIM berjaya menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai merupakan individu di dalam video tular berkenaan. Lelaki warganegara Pakistan tersebut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Susulan daripada tangkapan tersebut, pasukan operasi JIM terus mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan di dalam video tular tersebut. Kenderaan tersebut diletakkan di sebuah kedai cuci kenderaan yang terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur. Pemeriksaan lanjut menjumpai kenderaan tersebut dan berjaya menahan pemilik sebenar kenderaan terbabit.
“Hasil siasatan awal terhadap individu yang terlibat di dalam video yang tular tersebut mendapati video tersebut diambil pada bulan April 2025 dan baru dimuat naik dalam status Whatsapp oleh isteri kepada individu tersebut pada 7 Ogos 2026. Isteri kepada individu tersebut berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di Indonesia.
“Pemilik kenderaan berkenaan mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi dan mendaka tidak mengetahui ianya menjadi kesalahan undang-undang. Pemilik tersebut juga menyatakan logo JIM dan lampu mata arah tersebut telah dibuang sebelum video tersebut tular lagi,” tambahnya lagi.
Zakaria berkata, individu yang ditahan berserta kenderaan yang tular dalam video dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti Jabatan yang boleh mengeliukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti Jabatan. Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” tegasnya lagi.
View on Threads







