Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan supaya penguatkuasaan parkir menggunakan sistem pengesan plat nombor automatik (ANPR) yang digunakan untuk mengeluarkan saman parkir digantung serta merta. Menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow, keputusan ini dibuat selepas kerajan negeri meneliti maklumbalas daripada orang ramai berhubung dengan pelaksanaan sistem tersebut.
“Kerajaan negeri akan mengarahkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), untuk menggantung pelaksanaan ANPR serta-merta dan meneliti semula butirannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, dan Timbalan Pengerusi, Zairil Khir Johari. “Yang penting ialah kita mendengar suara rakyat, meneliti perkara yang perlu bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat Pulau Pinang,” tambahnya.
Pada Jumaat lalu, Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran, berkata sejak penggunaan sistem ANPR dilaksanakan oleh MBPP pada April tahun lalu, purata kira-kira 7,000 kompaun kesalahan parkir telah dikeluarkan setiap bulan.
Beliau berkata kenderaan yang dilengkapi sistem ANPR membolehkan MBPP mengesan kesalahan parkir dengan lebih tepat berbanding kaedah pemeriksaan secara manual, menurut laporan Bernama. Ini menunjukkan bahawa teknologi tersebut telah membantu meningkatkan kecekapan penguatkuasaan parkir.
Sistem ANPR membuat semakan silang nombor pendaftaran kenderaan dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sekiranya kenderaan didapati diletakkan secara tidak sah atau tanpa membuat bayaran parkir, notis kompaun akan dikeluarkan di tempat kejadian, dengan maklumat pemilik kenderaan diperoleh terus daripada rekod JPJ.
Beliau berkata ujian yang dijalankan oleh pihak majlis mendapati tempoh ihsan selama satu minit sudah mencukupi untuk pemandu membuka aplikasi Penang Smart Parking dan melengkapkan pembayaran. Beliau turut menambah bahawa pemandu diwajibkan membuat bayaran sebaik sahaja kenderaan diletakkan di petak parkir yang ditetapkan, walaupun mereka masih berada di dalam kenderaan dengan enjin masih hidup. Situasi ini sudah tentunya menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang.







