BAW X03 di GIIAS 2026 – SUV lasak besar dengan casis ladder frame, enjin turbodiesel 2.3L 136 PS/480 Nm

Selain dari T01, jenama ‘OG’ dari China iaitu Beijing Automobile Works (BAW) turut mempamerkan sekali sebuah SUV dengan casis ladder frame bersaiz besar yang digelar sebagai BAW X03 ketika penyertaan pertamanya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang berlangsung minggu lalu.

SUV ini sebenarnya masih lagi sangat baru dan belum dilancarkan di China. Dan menurut laporan Autohome, perincian-perincian asas-asasnya juga baru diterbitkan dalam laman web rasmi Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China beberapa hari yang lalu.

Namun apa yang menarik perhatian, unit yang dipamerkan di GIIAS ini sudah sedia dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD)! Dan walaupun bersaiz sangat besar, unit yang dipamerkan ini hanya menampilkan konfigurasi lima tempat-duduk.

BAW X03 di GIIAS 2026 – SUV lasak besar dengan casis ladder frame, enjin turbodiesel 2.3L 136 PS/480 Nm

Berapa besar SUV ini? Ia dihasilkan dengan dimensi panjang keseluruhan 5,095 mm, lebar 2,038 mm, tinggi 1,945 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm. Jadi saiz BAW X03 ini adalah lebih kurang sama dengan SUV ladder frame mewah dari jenama senegaranya iaitu Denza B8.

Walau bagaimanapun, BAW X03 tidaklah dihasilkan pada tahap yang sama mewah dengan Denza B8. Ia tidak digerakkan oleh unit rangkaian kuasa PHEV yang canggih seperti B8, sebaliknya hanya dibekalkan dengan enjin turbodiesel 2.3 liter yang menghasilkan kuasa 136 PS dan tork maksima 480 Nm. Tiada perincian lanjut berkenaan transmisi yang dibekalkan, dan satu-satunya angka prestasi yang disebut adalah kelajuan maksimanya ditetapkan pada 170 km/j.

Casis ladder frame BAW X03 ini ditampung dengan suspensi jenis double wishbone pada sebelah hadapan, dan juga multilink di belakang. Tetapan suspensi dan badan SUV ini membolehkan ia memberikan sudut approach 33-darjah dan sudut berlepas 30 darjah.

BAW X03 di GIIAS 2026 – SUV lasak besar dengan casis ladder frame, enjin turbodiesel 2.3L 136 PS/480 Nm

Kesemua sudut dibekalkan dengan brek jenis cakera berliang dan diberikan set roda merangkumi rim aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar all-terrain bersaiz 265/70R18. Kelengkapan lain yang turut dibekalkan termasuk pengunci unit differential tengah, sistem stereng bantuan elektrik dengan mod Comfort, Standard dan Sport, serta tayar gantian bersaiz penuh yang digantung pada pintu tailgate belakang bagi memberikan gaya SUV lasak sebenar.

BAW secara rasmi masuk ke pasaran Indonesia menerusi PT BAW Automobile Trading Indonesia. Selain menjual kenderaan di sana, syarikat berkenaan turut merancang untuk membina kilang di Jawa Barat untuk memasang model-modelnya secara tempatan (CKD) serta mengeksport kenderaan ke pasaran-pasaran negara ASEAN lain yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD). Mungkin X03 RHD ini juga akan dipasang di Indonesia?

Tags: