37 orang juruteknik pusat servis Proton eMas terima tauliah pensijilan Tahap 2 menerusi program TVETMARA

Seramai 37 orang juruteknik daripada 25 pusat pengedar jenama Proton eMas telahpun menjadi kumpulan pertama yang menerima sijil Juruteknik eMas Bertauliah Tahap 2 (L2) menerusi program yang jalankan oleh pengendali Proton eMas iaitu Pro-Net dengan kerjasama TVETMARA. Sijil berkenaan diserahkan menerusi Majlis Pensijilan Juruteknik eMas yang diadakan buat pertama kali semalam.

“Peralihan kepada mobiliti elektrik bukan sekadar memperkenalkan kenderaan berteknologi, tetapi turut melibatkan pembangunan keupayaan dan ekosistem yang diperlukan untuk menyokong pelanggan sepanjang tempoh pemilikan mereka. Melalui Program Pensijilan Juruteknik eMas, kami melabur dalam pembangunan tenaga kerja, meningkatkan piawaian perkhidmatan selepas jualan serta membentuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

Bagi memperoleh pensijilan Tahap 2 ini, kesemua peserta perlu melengkapkan tujuh modul latihan yang merangkumi kemahiran berkaitan EV, termasuk latihan sistem Voltan Tinggi (HV), sebelum menjalani penilaian teknikal bagi mengesahkan pengetahuan teknikal dan keupayaan praktikal mereka. Program pensijilan ini disahkan oleh TVETMARA Masjid Tanah, Melaka bagi memastikan semua juruteknik yang diperakui memenuhi piawaian kemahiran yang ditetapkan.

Menurut Pro-Net, Program Pensijilan Juruteknik eMas ini merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan juruteknik jangka panjang syarikat itu, dengan menyediakan laluan pembangunan yang tersusun daripada kemahiran teknikal asas
kepada kepakaran EV yang lebih mencabar.

Susulan kejayaan kumpulan pertama pensijilan Tahap 2, Pro-Net merancang untuk melaksanakan program pensijilan setiap tahun bagi juruteknik Tahap 2 (L2), Tahap 3 (L3) dan Tahap 4 (L4). Buat masa sekarang terdapat lebih dari 30,000 kenderaan dengan teknologi elektrifikasi jenama Proton eMas di atas jalan raya tempatan, yang dijual menerusi 58 pengedar bertauliah dan diselenggara oleh 45 pusat servis serta 10 pusat pembaikan badan dan cat bertauliah jenama berkenaan.