Harga minyak 13-19 Ogos – petrol RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen, diesel turun 10 sen

Bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 Ogos 2026, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter, menjadi RM4.15 seliter.

Begitu juga RON95 tanpa subsidi yang diturunkan sebanyak 15 sen seliter, kini RM3.62 seliter. Manakala harga bersubsidi di bawah program Budi95 tetap dikekalkan pada RM1.99 seliter. Untuk Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), ia masih ditetapkan pada harga RM2.05 seliter.

Malah harga diesel tanpa subsidi juga diturunkan iaitu sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM4.47 seliter. Walau bagaimana pun diesel di bawah program subsidi Budi Diesel masih berharga RM2.10 seliter. Bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula, ia masih ditetapkan pada RM2.15 seliter.

Semua harga runcit yang dinyatakan ini berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini (13 Ogos) sehingga jam 11.59 malam pada 19 Ogos 2026. Ini merupakan edisi ke-34 bagi format harga minyak mingguan untuk tahun 2026, dan yang ke-397 secara keseluruhan sejak format ini diperkenalkan pada tahun 2019.