Rapid KL memaklumkan bahawa jadual perkhidmatan Laluan Putrajaya sedang mengalami kelewatan susulan gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Taman Equine dan Stesen Putrajaya Sentral sejak jam 8.41 pagi tadi.
“Pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik
percuma bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan. Di mana tren alternatif disediakan dari Stesen Kwasa Damansara yang akan berpatah balik di Stesen UPM dengan kekerapan setiap 10 minit. Manakala tren perantara di antara Stesen UPM dan Stesen Equine (platform 1) juga digerakkan dengan kekerapan setiap lapan minit,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Malah bas perantara ulang alik percuma juga disediakan di Stesen UPM, Stesen Taman Equine, Stesen Putra Permai, Stesen 16 Sierra, Stesen Cyberjaya Utara, Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.
“Pasukan teknikal kini sedang menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulihkan bekalan kuasa dan mengembalikan operasi perkhidmatan kepada keadaan normal secepat mungkin. Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen telah ditempatkan di stesen-stesen yang terjejas untuk memberikan bantuan dan panduan.
“Penumpang yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada pegawai stesen atau anggota polis bantuan yang bertugas. Pengumuman berkala berkaitan status perkhidmatan turut dibuat di stesen dan dalam tren. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE,” kata syarikat konsesi ini lagi.








