Puspakom mengumumkan slot Tempahan Akses Awal GiCheck (G.E.A.R) akan diperluaskan ke 26 cawangannya di seluruh negara bulan ini.
Minggu ini, G.E.A.R akan mula dilaksanakan di cawangan Puspakom di Padang Jawa, Cheras, Pandan Mewah, Banting, Bangi, Seremban, Alor Gajah, Muar, Kluang, Johor Bahru dan Senai. Ia menyertai cawangan lain yang telah memulakan G.E.A.R iaitu Wangsa Maju, Glenmarie dan Batu Caves.
Manakala minggu ke-empat bulan ini menyaksikan beberapa cawangan di wilayah utara, pantai timur dan Malaysia Timur juga akan mula melaksanakan G.E.A.R. Cawangan terbabit ialah Alor Setar, Sungai Petani, Teluk Kumbar, Ipoh, Mak Mandin, Gopeng, Taiping, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kota Samarahan.
Dilancarkan pada bulan lalu, G.E.A.R merupakan perkhidmatan premium yang membolehkan pemilik kenderaan persendirian mendapatkan slot pemeriksaan seawal hari. Kadar pengenalan RM150 ditetapkan bagi setiap kenderaan, dengan pelanggan akan menerima pengesahan slot janji temu pemeriksaan prioriti menerusi platform GiCheck.
Puspakom berkata G.E.A.R memberi pilihan kepada pemilik kenderaan persendirian yang memerlukan slot pemeriksaan dalam tempoh lebih singkat tanpa menjejaskan peluang pelanggan lain mendapatkan slot melalui sistem tempahan sedia ada. Inisiatif itu turut membantu pelanggan yang sedang melengkapkan urusan pertukaran hak milik kenderaan, keperluan pembiayaan atau berdepan situasi tidak dijangka yang memerlukan pemeriksaan segera.
Syarikat itu menambah bahawa G.E.A.R tidak menjejaskan slot temu janji biasa, yang akan terus tersedia kepada pelanggan di seluruh negara. Tambahnya, hanya sebahagian kecil daripada kapasiti pemeriksaan harian setiap cawangan yang mengambil bahagian akan diperuntukkan khusus kepada pelanggan G.E.A.R.









