Selain model Tourer/TX, Jetour turut dijangka membawa T2 versi facelift ke Chengdu Motor Show yang akan berlangsung minggu depan. Foto rasmi model berkenaan telah tersebar di media sosial seperti Weibo, memperlihatkan perubahan pada reka bentuk SUV berbentuk kotak itu.
Untuk pasaran China, T2 dikenali sebagai Traveller dan versi terbaru ini akan menggunakan nama Traveller 7. Walaupun terdapat angka “7” pada namanya, model ini masih mengekalkan konfigurasi lima tempat duduk seperti T2 sedia ada, bukannya versi lebih panjang tujuh tempat duduk yang dikenali sebagai Traveller Plus.
Penggunaan nama Traveller 7 dipercayai bagi membezakan model ini dengan Traveller 8, iaitu model serba baru yang lebih premium dan turut akan membuat kemunculan sulung di Chengdu.
Perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan. Lampu utama berbentuk petak pada model sebelumnya kini digantikan dengan unit berbentuk bulat, memberikan penampilan yang lebih menyerupai Land Rover Defender. Kedua-dua lampu tersebut disambungkan dengan jalur LED yang merentasi gril, manakala tulisan Jetour kini diletakkan pada bahagian bonet.
Reka bentuk bampar turut diubah. Jika sebelum ini bampar hadapan tampil menonjol dengan kemasan plastik hitam yang tidak dicat, versi facelift menggunakan reka bentuk lebih kemas dan sama warna dengan badan. Ia turut menerima saluran udara yang lebih besar, selain menghilangkan lampu tambahan serta cangkuk tunda yang memberikan penampilan lebih lasak pada model terdahulu.
Kemasan sama warna dengan badan kini turut digunakan pada bahagian seperti pemegang bonet dan kemasan sekeliling lengkuk roda. Di belakang, bampar baru tampil dengan reka bentuk lebih ringkas serta menerima lampu tambahan yang direka semula.
Menurut Autohome, sistem plug-in hybrid Chery Dual Mode (C-DM), yang dikenali sebagai i-DM di beberapa pasaran lain, dijangka dikekalkan. Sistem ini menggunakan motor elektrik berkuasa 224 PS dan tork 390 Nm, digandingkan dengan enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 156 PS dan 220 Nm. Kuasa disalurkan melalui transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (DHT), dengan jumlah output sistem mencecah 360 PS dan 610 Nm.
Versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik turut ditawarkan, menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 462 PS dan tork maksimum 700 Nm.
Bagi versi T2 C-DM, terdapat pilihan bateri LFP berkapasiti 27.2 kWh yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sejauh 100 km mengikut kitaran WLTP. Pilihan bateri lebih besar berkapasiti 43.24 kWh pula meningkatkan jarak EV kepada 160 km.
Selain varian plug-in hybrid, versi dengan enjin petrol sepenuhnya juga dijangka dikekalkan. Pilihannya terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo yang menghasilkan 184 PS dan 290 Nm serta enjin 2.0 liter turbo dengan output 254 PS dan 390 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.











Jetour T2
dari RM156,800
Jetour T1
dari RM129,800
Jetour VT9
dari RM119,350
Jetour Dashing
dari RM106,800