Awal tahun ini Proton S70 baru sahaja menerima model kemaskini MC1 yang menyaksikan sedan segmen-C berkenaan diberikan tingkat taraf enjin 1.5 liter empat silinder turbo i-GT yang lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder sebelum itu, namun masih mengekalkan rupa yang sama tanpa perubahan yang signifikant.
Ada desas-desus mengatakan bahawa S70 bakal menerima kemaskini sekali lagi pada lewat tahun ini, dan kali ini akan melibatkan perubahan facelift yang lebih menyeluruh – nampaknya khabar angin itu benar kerana unit prototaip ujiannya telah dilihat mula diuji di atas jalan raya awam.
Imej yang anda lihat ini dihantarkan kepada kami oleh pembaca paultan.org, Micheal Chin yang dapat merakamkan bahagian belakang S70 facelift berkenaan yang sedang diuji di atas jalan raya awam. Boleh dilihat unit prototaip ini telah dilindungi oleh pelekat penyamaran pada bahagian bumbung dan juga keseluruhan bahagian belakangnya.
Namun sedikit perubahan rekaan boleh dapat dilihat di mana ia telah diberikan lampu belakang baharu yang berbeza dari model sedia ada. Lampu tersebut nampak lebih nipis dan grafik LED di dalamnya juga kelihatan lebih mirip seperti lampu belakang Proton Saga MC3.
Berkemungkinan besar rekaan facelift kali ini dibuat sepenuhnya oleh Proton. Ini kerana kembar S70 di China iaitu Geely Emgrand masih belum menerima perubahan rupa yang menyeluruh dan jualan model itu mungkin akan dihentikan di sana tidak lama lagi kerana Emgrand generasi baharu telahpun didedahkan sebelum ini.
Berkemungkinan juga Geely akan menggunakan rekaan baharu ini untuk Emgrand facelift untuk pasaran luar China seperti di Timur Tengah, Filipina dan sebagainya. Proton baru-baru ini dikesan memasang Geely Emgrand di Tanjong Malim dalam versi pemanduan sebelah kiri, berkemungkinan dieksport ke pasaran Filipina.
Malah rekaan papan pemuka X50 facelift yang dibuat sendiri oleh Proton kini telah digunakan pada Geely Coolray pasaran Afrika Selatan dan Indonesia, di mana kedua-dua negara itu juga sebenarnya menerima Coolray yang dipasang di Tanjong Malim.
Berbalik kepada S70 facelift pasaran Malaysia ini, kami juga jangkakan ia akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder NA yang dipadankan dengan kotak gear CVT yang sama dengan Emgrand, memandangkan unit rangkaian kuasa tersebut sudah dibekalkan ke kilang Proton Tanjong Malim untuk memasang Emgrand. Model dengan enjin tanpa turbo ini dijangka akan dijual lebih murah dari varian dengan enjin turbo, bagi menggantikan tempat Proton Persona yang bakal dihentikan jualannya tahun ini.
Jadi untuk anda yang ada rancangan untuk membeli Proton S70, nak tunggu facelift baharu ini atau beli sahaja model sedia ada yang mungkin akan ditawarkan dengan rebat lebih besar tak lama lagi?








