LRT Laluan Shah Alam memulakan operasi berbayar esok – tambang, bas perantara, kemudahan Park N’ Ride

Rapid KL memaklumkan bahawa LRT Laluan Shah Alam bakal memulakan operasi perkhidmatan berbayar esok, 15 Ogos 2026 seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Bermula tarikh tersebut, tambang akan dikenakan termasuk bagi perkhidmatan bas perantara serta kemudahan Park N’ Ride yang disediakan. Pelaksanaan perkhidmatan berbayar ini menandakan satu lagi fasa penting dalam operasi Laluan Shah Alam selepas tempoh perjalanan percuma enam minggu yang mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Rapid KL merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas sokongan, kepercayaan dan kesediaan memilih pengangkutan awam sepanjang tempoh tersebut. Justeru, penumpang dinasihatkan untuk membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan dengan menggunakan kad atau kaedah pembayaran tanpa tunai yang tersedia,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Bagi penggunaan kad, penumpang hendaklah memastikan baki dalam kad adalah sekurang- kurangnya RM5. Penumpang juga boleh menyemak kadar tambang Laluan Shah Alam melalui laman rasmi MyRapid atau mendapatkan maklumat tambang di stesen sebelum memulakan perjalanan.

Dalam masa yang sama, tambang konsesi menerusi Kad Konsesi MyRapid turut tersedia bagi kategori yang layak, termasuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya. Penumpang yang layak boleh menggunakan kad konsesi masing-masing untuk menikmati kadar tambang yang ditetapkan.

Rapid KL mengal-alukan orang ramai untuk meneruskan perjalanan bersama Laluan Shah Alam dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan bagi perjalanan harian yang lebih mudah, selamat dan lancar.

Klik untuk besarkan

Untuk maklumat lanjut mengenai kadar tambang dan perkhidmatan Laluan Shah Alam, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman rasmi MyRapid, aplikasi PULSE serta saluran media sosial rasmi Rapid KL.

Memulakan operasinya pada 29 Jun lalu, perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 20 stesen baharu termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Prasarana Malaysia Berhad menyasarkan 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi, sebelum meningkat kepada 117,708 perjalanan sehari dalam tempoh lima tahun.