Semalam kami paparkan imej sebuah Proton S70 facelift yang diuji di atas jalan raya awam yang sedikit sebanyak mendedahkan bahagian belakangnya, dikemaskini dengan lampu baharu seakan lampu rekaan lampu Proton Saga MC3. Dan ini, seorang pengguna Threads dengan nama zichiazizi pula telah memuat naik gambar unit prototaip Proton S70 facelift yang sama, tetapi ia memberikan gambaran untuk bahagian hadapan dan juga sisi.
Unit prototaip berkenaan dilindungi dengan pelekat penyamaran pada bahagian muka, rim aloi, perapi cermin tingkap pintu, penutup cermin sisi, pembuka pintu dan juga bahagian bendul sisi, menandakan bahawa bahagian-bahagian tersebut berkemungkinan menerima perubahan rekaan berbanding versi sedia ada dalam pasaran.
Walaupun ia telah ditutup dengan pelekat, masih ada beberapa perincian yang kita boleh intai bagi mengetahui perubahan yang dibuat. Pada bahagian muka, lampu hadapan yang digunakan mungkin masih sama, tetapi boleh dilihat ia telah digelapkan pada sebelah dalam bagi memberikan rupa yang lebih garang.
Bampar hadapan juga nampaknya telah diperbaharui di mana pada bahagian sisi ia kini telah diberikan kemasan pengalir udara yang berlainan dan lebih besar. Untuk pembuka pintu, nampaknya versi facelift ini turut akan menerima suis kunci keyless pada sebelah penumpang hadapan. Manakala bagi perapi cermin tingkap, pada model sedia ada komponen ini hadir dalam kemasan krom, mungkin versi facelift ini ia ditukar kepada hitam berkilat untuk imej lebih garang?
Dan antara yang paling menyerlah perubahannya adalah rekaan rim aloi – ia menampilkan corak seakan bunga dengan lima kelopak, menyerlahkan angkup brek di sebaliknya yang kini telah dilayangkan dengan warna merah.
Berkemungkinan besar rekaan facelift kali ini dibuat sepenuhnya oleh Proton. Ini kerana kembar S70 di China iaitu Geely Emgrand masih belum menerima perubahan rupa yang menyeluruh dan jualan model itu mungkin akan dihentikan di sana tidak lama lagi kerana Emgrand generasi baharu telahpun didedahkan sebelum ini.
Ada juga kemungkinan Geely akan menggunakan rekaan baharu ini untuk Emgrand facelift bagi pasaran luar China seperti di Timur Tengah, Filipina dan sebagainya. Sebagai contoh rekaan papan pemuka X50 facelift yang dibuat sendiri oleh Proton kini telah digunakan pada Geely Coolray pasaran Afrika Selatan dan Indonesia, di mana kedua-dua negara itu juga sebenarnya menerima Coolray yang dipasang di Tanjong Malim.
Bagi unit rangkaian kuasa, S70 pastinya akan terus menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo i-GT berkuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm yang baharu sahaja dikemaskini menerusi versi MC1 yang dilancarkan pada awal tahun ini. Enjin berkenaan digandingkan klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.
Namun kami jangkakan bagi model facelift ini, S70 bakal ditawarkan dengan satu lagi pilihan padanan enjin iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder tanpa turbo bersama kotak gear CVT automatik yang sama seperti Geely Emgrand – setakt ini Emgrand tidak pernah ditawarkan dengan enjin turbo pada mana-mana pasaran. Model dengan enjin tanpa turbo ini akan dijual pada harga lebih rendah, bagi menggantikan tempat Proton Persona yang bakal dihentikan jualannya tahun ini.
Malah Proton baru-baru ini dikesan memasang Geely Emgrand di Tanjong Malim dalam versi pemanduan sebelah kiri untuk dieksport ke luar negara, jadi unit rangkaian tersebut pastinya sudah dibekalkan ke kilang Proton dan bersedia untuk dipasang pada Proton S70 pasaran tempatan pula.







Proton S70
dari RM73,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800