Lamborghini Revuelto SV diperkenal – hibrid V12 kuasa 1,065 PS/1,425 Nm, fokus kepada pemanduan ekstrem

Lamborghini memperkenalkan Revuelto SV sebagai varian Super Veloce terbaru berasaskan model supercar V12 generasi terkini itu. Lebih berorientasikan prestasi, Revuelto SV menerima peningkatan pada sistem kuasa, casis, brek serta aerodinamik berbanding Revuelto yang mula diperkenalkan pada 2023.

Dengan gabungan enjin V12 dan sistem elektrifikasi yang dinaik taraf, Revuelto SV menghasilkan kuasa maksimum 1,065 PS serta tork 1,425 Nm. Angka tersebut membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam hanya 2.4 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding Revuelto standard. Pecutan 0-200 km/j pula mengambil masa 6.7 saat, manakala kelajuan maksimum melebihi 345 km/j.

Enjin V12 NA 6.5 liter itu masih menghasilkan 825 PS pada 9,250 rpm, sama seperti Revuelto biasa. Peningkatan kuasa keseluruhan hadir daripada motor elektrik yang telah dinaik taraf, dengan tenaga disimpan dalam bateri berkapasiti lebih besar, iaitu 7.3 kWh berbanding 3.8 kWh pada Revuelto standard.

Lamborghini turut memberikan perhatian besar terhadap aspek aerodinamik. Pada bahagian hadapan, Revuelto SV menerima kemasan sirip bersudut pada bampar untuk membantu mengedapkan aliran udara di sekitar ruang roda hadapan, selain mengarahkannya ke penyejuk di bahagian sisi.

Lamborghini Revuelto SV diperkenal – hibrid V12 kuasa 1,065 PS/1,425 Nm, fokus kepada pemanduan ekstrem

Keseimbangan aerodinamik juga dialihkan sedikit ke hadapan bagi meningkatkan pengendalian ketika dipandu di litar. Sistem penyejukan brek turut dipertingkatkan, dengan Lamborghini mendakwa kecekapan penyejukan meningkat sebanyak 12% walaupun dalam keadaan ekstrem.

Di bahagian belakang, Revuelto SV menggunakan spoiler dengan reka bentuk dua-sayap pada setiap hujung. Ia turut dilengkapi Gurney flap yang membantu meningkatkan daya tekan pada penutup ruang enjin, selain menghasilkan kesan sedutan lebih baik pada saluran keluar radiator untuk meningkatkan penyejukan. Satu lagi saluran penyejukan baru turut diperkenalkan khusus untuk brek belakang.

Secara keseluruhan, perubahan aerodinamik ini menghasilkan 80% lebih daya tekan berbanding Revuelto standard, selain meningkatkan kecekapan nisbah daya tekan kepada seretan sebanyak 60%. Menurut Lamborghini, daya tekan Revuelto SV juga 10% lebih tinggi berbanding Aventador SVJ.

Untuk casis, Revuelto SV mendapat penyerap hentak boleh laras secara manual yang diinspirasikan daripada teknologi yang diguna dalam perlumbaan GT3. Lamborghini turut menyediakan tetapan yang disyorkan mengikut keadaan permukaan litar, sama ada rata, beralun atau basah.

Lamborghini Revuelto SV diperkenal – hibrid V12 kuasa 1,065 PS/1,425 Nm, fokus kepada pemanduan ekstrem

Roda bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan kedua-duanya menggunakan mekanisme pengunci tengah yang telah direka semula. Bagi tayar, Lamborghini menawarkan Bridgestone Potenza Race R yang dibangunkan khusus untuk Revuelto SV. Tayar ini menggunakan sebatian baru berinspirasikan sukan permotoran serta corak bunga baru yang memberi tumpuan kepada cengkaman dan pengendalian di permukaan kering.

Sistem brek pula menggunakan unit karbon seramik CCM-R Plus dengan cakera berukuran 420 x 40 mm di hadapan dan 410 x 32 mm di belakang. Lamborghini mendakwa tetapan baru ini mampu memberikan peningkatan 11% dalam nyahpecutan maksimum, pelesapan haba 23% lebih baik serta pengurangan suhu haba brek sebanyak 12% berbanding Revuelto standard.

Cakera brek yang direka semula itu mempunyai binaan yang membantu mengagihkan haba dengan lebih sekata. Pekali geseran yang lebih baik pula membolehkan kuasa membrek dicapai dengan segera tanpa memerlukan fasa pemanasan terlebih dahulu.

Lamborghini turut menggunakan komponen vented racing bell bagi mengoptimumkan penyejukan, meningkatkan kecekapan suhu serta memastikan prestasi membrek kekal konsisten ketika menerima beban ekstrem.

Lamborghini Revuelto SV diperkenal – hibrid V12 kuasa 1,065 PS/1,425 Nm, fokus kepada pemanduan ekstrem

Revuelto SV juga menjadi model pertama dalam keluarga Revuelto yang menerima sistem Integrated Braking Control. Sistem ini menggunakan sensor 6D yang disambungkan terus kepada unit kawalan brek bersepadu untuk mengukur pecutan membujur dan melintang serta pergerakan pitch, roll dan yaw.

Sensor 6D tersebut menjadi sebahagian daripada sistem Integrated Vehicle Estimator. Ia bekerjasama dengan pengawal brek bersepadu untuk mengawal gelinciran roda ketika membrek dan membantu mengurangkan jarak berhenti sehingga 10%. Sistem ini juga direka untuk meningkatkan prestasi membrek ketika mengambil selekoh, termasuk dalam keadaan pemanduan di litar seperti ketika kereta melalui kerb.

Dari segi mod pemanduan, Revuelto SV menerima tambahan mod baru bernama Pilota, selain mod Strada, Sport dan Corsa. Mod Pilota boleh diaktifkan melalui tombol khas pada stereng dan memberikan akses kepada sistem kawalan cengkaman dengan lima tahap pelarasan.

Ruang kabin pula menerima tempat duduk bucket baru yang menggunakan gabungan fabrik Corsa-Tex dan kulit, selari dengan karakter Revuelto SV yang lebih fokus kepada pemanduan berprestasi tinggi. Menurut laporan Autocar, pengeluaran Lamborghini Revuelto SV akan dihadkan kepada tempoh dua tahun. Penghantaran unit pertama kepada pelanggan dijangka bermula pada awal tahun depan.