Hanya beberapa hari selepas diperkenalkan di Chengdu Motor Show yang sedang berlangsung, iCaur kini mendedahkan V25 versi global, termasuk dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD). Perkembangan itu hadir bersama pengumuman bahawa SUV elektrik range extender berkenaan akan menjadi model pertama jenama tersebut untuk pasaran Australia, dengan pelancarannya dijadualkan pada awal 2027.
V25 pada asasnya merupakan versi lebih besar bagi V23 yang dilengkapi enjin petrol sebagai penjana kuasa tambahan. Meskipun spesifikasi penuhnya masih belum diumumkan, model ini dijangka menggunakan rangkaian kuasa daripada V27. Ini bermakna ia berkemungkinan menerima enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 156 PS dan 220 Nm.
Enjin tersebut dijangka digabungkan dengan sama ada satu motor elektrik yang menghasilkan 252 PS (185 kW) dan 300 Nm, atau sistem dua-motor dengan output keseluruhan 455 PS (335 kW) serta tork 505 Nm untuk menggerakkan keempat-empat roda. Menurut laporan Autohome, versi paling berkuasa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat.
Sistem berkenaan pula dijangka menggunakan bateri LFP berkapasiti 33.679 kWh yang membolehkan V25 bergerak lebih 210 km dalam mod elektrik penuh mengikut kitaran CLTC. Angka tersebut bersamaan kira-kira 170 km berdasarkan kitaran WLTP, manakala jarak keseluruhan dengan bantuan enjin petrol dikatakan melebihi 1,200 km.
Dari segi dimensi, V25 berukuran 4,636 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,855 mm tinggi. Ini menjadikannya 416 mm lebih panjang, lima mm lebih lebar dan 10 mm lebih tinggi berbanding V23. Daripada tambahan panjang itu, 85 mm digunakan untuk memanjangkan jarak roda kepada 2,820 mm, manakala selebihnya diberikan pada bahagian lebihan belakang.
Perubahan dimensi tersebut memberikan V25 penampilan yang lebih tegap dan hampir menyerupai SUV 4×4 bersaiz besar yang menjadi inspirasinya. Beberapa perincian luaran turut diubah, termasuk lampu hadapan yang kini menggunakan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk bulat berbanding rekaan linear pada model terdahulu.
Di bahagian belakang pula, panel tepi belakang yang boleh menyebabkan titik buta kini mempunyai kemasan berbentuk segi empat, dipercayai bagi membolehkan pemasangan aksesori. Kedudukan ruang nombor pendaftaran juga diubah daripada pintu but kepada bahagian bampar. Perubahan itu membolehkan V25 membawa tayar ganti bersaiz penuh pada pintu belakang, menggantikan beg barangan pada V23.
Pintu belakang yang dibuka ke sisi turut mendapat pemegang menegak baru, manakala tayar yang digunakan kelihatan lebih premium dengan Goodyear Eagle F1 berbanding tayar Chaoyang Radial RP76+ pada V23. Gril hadapan bagi versi global ini juga berbeza daripada iCar versi China, dengan palang sama warna badan dikekalkan pada bahagian tengahnya.
Bahagian kabin pula masih mengekalkan reka bentuk berbentuk berpetak seperti V23, termasuk penggunaan kemasan seakan logam, suis fizikal bersaiz besar dan skrin sentuh infotainmen 15.4 inci. Namun, beberapa penambahbaikan dari segi praktikaliti dibuat, termasuk kehadiran paparan instrumen sebenar, lebih banyak suis fizikal serta konsol tengah baru dengan dua pemegang telefon dan pengecas tanpa wayar Qi.
Pertambahan saiz badan turut memberikan lebih banyak ruang kepada penumpang belakang, khususnya dari segi ruang kaki dan lebar kabin. Berbanding V23 yang lebih sesuai untuk dua penumpang di belakang, V25 kini menawarkan tempat duduk bangku yang membolehkan tiga orang duduk bersebelahan dengan lebih selesa.
Dengan V25 sudah disahkan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, Malaysia berkemungkinan menjadi antara destinasi eksport seterusnya selepas Australia. Ini memandangkan Malaysia merupakan antara pasaran utama bagi jenama di bawah Chery, sementara pasaran tempatan juga bakal menerima V27 yang dijangka tiba lewat tahun ini.











