Pada hari yang sama Geely memperkenalkan model Starray EM-i AWD, Jaecoo turut mendedahkan sebuah SUV AWD segmen C yang dipacu oleh sistem plug-in hybrid syarikat itu sendiri, iaitu J7 PHEV. Model ini akan membuat penampilan sulungnya di pasaran Australia bulan ini.
Versi pacuan semua roda J7 PHEV ini bagaimanapun berbeza berbanding sistem sama untuk model J8 dan Omoda C9 PHEV kerana ia mengekalkan Super Hybrid System-Plug-in Hybrid yang kurang berkuasa (SHS-P). Ini bermakna, ia mempunyai transmisi hibrid khusus (DHT) kelajuan tunggal dan bukannya unit tiga-kelajuan seperti dua model yang dinyatakan itu.
Jaecoo J7 PHEV AWD ini memanfaatkan enjin empat-silinder turbo 1.5 liter dengan janaan 103 PS/215 Nm dan motor elektrik 204 PS/210 Nm di depan, dan sebuah lagi motor kedua dengan janaan 154 PS/210 Nm untuk memacu roda belakang. Jumlah output keseluruhan sistem ini ialah 354 PS dan tork 490 Nm — bersamaan 75 PS dan 125 Nm lebih tinggi berbanding versi pacuan roda hadapan biasa model yang sama.
Yang menghasilkan tenaga untuk dua motor berkenaan ialah bateri LFP 18.4 kWh oleh BYD yang sama. Namun, oleh kerana prestasi dan tetapan pacuannya yang lebih, maka ini memberi kesan kepada jarak perjalanan elektrik sepenuhnya yang boleh dicapai; turun kepada 80 km, berbanding 100 km NEDC. Jika mengikut kitaran WLTP yang lebih realistik, jaraknya mungkin sekitar 70 km sahaja. Sebagai perbandingan, versi pacuan roda depan (FWD) PHEV yang sama mampu bergerak sehingga 88 km WLTP dengan sekali cas.
Selebihnya, kelengkapan antara dua model FWD dan AWD ini kekal sama. Antaranya terdiri daripada sokongan pengecasan pantas DC sehingga 40 kW yang boleh mengecas bateri dari SoC 30%-80% dalam masa 20 minit. Bagi pengecasan AC, ia kekal terhad pada kadar 6.6 kW, dengan pengecasan dari SoC 25%-100% mengambil masa 2.6 jam. Di Australia, model AWD ditawarkan dalam kemasan Summit yang paling lengkap, hadir dengan lampu LED penuh, rim aloi rekaan turbin aero 19-inci dan cermin pintu yang lebih tirus untuk versi PHEV.
Di dalam, kelengkapan yang tersedia termasuklah paparan instrumen 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen menegak 14.8-inci yang lebih besar, head-up display, stereng dengan pemanas, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan pemanas dan berliang, balutan kulit buatan, sistem bunyi Sony dengan lapan-pembesar suara, kamera papan pemuka binaan dalam, lampu ambient yang boleh disesuaikan, bumbung panoramik, kamera 360-darjah dan pintu belakang berkuasa.
Bagi aspek keselamatan, J7 untuk pasaran Australia dilengkapi dengan lapan-beg udara dan set lengkap ciri bantuan pemandu — terdiri daripada AEB, ACC dengan Stop/Go dan bantuan ke tengah lorong. Varian J7 PHEV AWD Summit ini akan dijual dengan harga AU$47,990 (RM138,500) — ini lebih mahal berbanding varian Summit 2WD, manakala Geely Starray EM-i Inspire AWD dijual dengan harga AU$44,990 (RM129,900).
Jangkaannya, model ini akan masuk Malaysia juga?
IKLAN: Pandu kereta Omoda Jaecoo idaman anda dengan tawaran terbaik. Hantar butiran anda dan pengedar Omoda Jaecoo Carro akan menghubungi anda.











Omoda Jaecoo J7
dari RM138,800
Omoda Jaecoo J5 EV
dari RM118,800
Omoda Jaecoo J5
dari RM108,000
Omoda Jaecoo J8
dari RM178,800
Omoda Jaecoo C9
dari RM168,800