Volvo Cars bakal menutup pejabatnya di Stockholm, Sweden pada 1 Mac 2027 bagi mengurangkan kos serta meningkatkan keberkesanan operasinya, lapor Reuters dan turut menyatakan tugas-tugas yang dikendalikan oleh pejabat tersebut akan dipindahkan ke Ibu Pejabat jenama berkenaan yang terletak di Gothenburg.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Volvo Cars menyatakan bahawa ia “akan menguruskan proses tersebut dengan dialog rapat bersama pekerja serta wakil pekerja.” Syarikat itu juga menjelaskan dengan memusatkan sumber merentasi fasiliti operasi yang dikurangkan di Sweden akan membantu mengurangkan kerumitan, mempercepatkan kerjasama rentas fungsi dan meningkatkan daya saing.
Pejabat Volvo Cars di Stockholm berkenaan buat masa sekarang beroperasi dengan 450 pekerja untuk membangunkan kepakaran dalam bidang seperti pembangunan perisian, AI dan pengalaman digital pelanggan.
Menurut Reuters, masih belum jelas berapa banyak jumlah pekerjaan yang akan dikurangkan menerusi langkah itu, namun tahun lalu Volvo Cars sendiri telah mengumumkan bahawa ia merancang untuk mengurangkan seramai 3,000 pekerja kolar putih di seluruh dunia untuk berhadapan dengan masalah kos yang semakin meningkat, permintaan EV yang perlahan serta ketidakpastian perdagangan.
Ketika itu Volvo Cars menyatakan bahawa pelan tindakan bernilai SEK18 bilion (kira-kira RM7.6 bilion) itu dibuat bertujuan untuk mengukuhkan syarikat dan membolehkan ia lebih berdaya tahan ketika industri automotif menghadapi cabaran yang besar dalam persekitaran luarannya, dengan langkah seperti mewujudkan organisasi yang lebih ringkas, lebih cekap dengan asas kos struktur yang lebih rendah.









Volvo ES90
dari RM339,888
Volvo XC60
dari RM328,888
Volvo XC90
dari RM418,888
Volvo EX90
dari RM428,888
Volvo EX30
dari RM198,888
Volvo EC40
dari RM248,888
Volvo XC40
dari RM268,888