EV kompak dari Geely iaitu EX2 telahpun menjalani ujian pelanggaran keselamatan selepas dua tahun ia membuat kemunculan sulungnya di China pada 2024. Model yang dikenali sebagai Geely Xingyuan di negara asalnya dan juga E2 di beberapa pasaran eksport lain (juga dikenali sebagai Proton eMas 5 untuk kita di Malaysia) menerima penarafan lima-bintang penuh dalam ujian Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) dan juga Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP).
Walau bagaimanapun keputusan ujian untuk EX2/E2/Xingyuan tersebut tidak boleh dianggap sama untuk eMas 5 kerana model dengan lencana Geely ini menerima beg udara tengah atau tujuh beg udara secara keseluruhan, serta diberikan fungsi brek automatik pada sistem amaran lintasan trafik belakang (RCTA).
Proton eMas 5 di Malaysia tidak ditawarkan dengan beg udara tersebut atau hanya enam-beg udara secara keseluruhan, manakala sistem RCTA pula tidak diberikan fungsi brek automatik. Sehingga kini Proton masih belum menguji eMas 5 dalam ujian Program Penilaian Kereta Baharu untuk negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
Geely EX2 menerima markah sebanyak 79% untuk pemanduan selamat, 72% untuk mengelakkan kemalangan, 86% untuk perlindungan kemalangan dan 95% untuk keselamatan pasca kemalangan dalam kedua-dua ujian Euro NCAP dan ANCAP. Dalam Euro NCAP, model ini menerima pujian terhadap sistem brek kecemasan automatik (AEB)
Kedua-dua ujian Euro NCAP dan ANCAP memberikan markah sebanyak 79% untuk pemanduan yang selamat, 72% untuk mengelakkan kemalangan, 86% untuk perlindungan kemalangan dan 95% untuk keselamatan pasca kemalangan pada Geely EX2. Antara perkara penting yang mendapat perhatian Euro NCAP termasuk AEB yang mendapat markah hampir penuh, namun agak lemah dalam beberapa aspek termasuk perlindungan kaki pemandu yang lemah akibat disentap oleh pedal, serta tali pinggang keledar yang “sebahagiannya tergelincir dari bahu patung ujian kanak-kanak berusia 10 tahun”.
Manakala ANCAP pula menyatakan bahawa “sesetengah fungsi terlalu bergantung pada skrin utama kenderaan”, sistem ACC yang “tidak dapat menyesuaikan diri untuk bulatan dan persimpangan”, serta “prestasi mengelakkan perlanggaran berkelajuan rendah tidak konsisten”.








