Kabel terjuntai dari landasan MRT antara Sri Raya-Bdr Tun Hussein – seorang rider cedera, kenderaan rosak

Rapid KL memaklumkan bahawa satu insiden melibatkan kabel pembumian yang terjuntai dari jejambat landasan MRT ke kawasan jalan raya di bawahnya telah berlaku di antara Stesen Sri Raya dan Stesen Bandar Tun Hussein Onn pada awal pagi tadi.

“Susulan kejadian tersebut, Rapid KL menerima laporan bahawa beberapa kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian badan dan cermin selepas melalui kawasan berkenaan. Rapid KL turut dimaklumkan bahawa seorang penunggang motosikal (rider) mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. Mangsa telah diberikan bantuan keemasan sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan teknikal Rapid KL telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan segera. Kabel berkenaan telah dialih bagi memastikan ia tidak lagi mendatangkan risiko kepada pengguna
jalan raya,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Kabel terjuntai dari landasan MRT antara Sri Raya-Bdr Tun Hussein – seorang rider cedera, kenderaan rosak

Tambahnya, hasil pemeriksaan turut mengesahkan bahawa struktur jejambat dan sistem berkaitan operasi tren tidak terjejas. Perkhidmatan tren Laluan Kajang adalah selamat dan beroperasi seperti biasa.

“Rapid KL sedang bekerjasama rapat dengan pengendali lebuh raya serta pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian ini. Pemeriksaan awal di lokasi mendapati kabel pembumian berkenaan
telah dipotong dan kemungkinan berlakunya aktiviti kecurian kabel.

“Rapid KL memandang serius kejadian ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang sedang dijalankan. Keselamatan penumpang, pengguna jalan raya dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya lagi.