MSF Merdeka Race 111-lap 2026 – Faidzil Alang pertahan kejuaraan kali kedua dengan Mercedes-AMG A45!

Perlumbaan MSF Merdeka 111-Lap 2026 telahpun berakhir hujung minggu lalu dengan sejarah tercipta apabila pelumba berpengalaman negara, Faidzil Alang berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan bagi tahun kedua berturut-turut. Namun apa yang berbeza, Faidzil bukan lagi memandu jentera Toyota GR Yaris tahun ini, sebaliknya kejayaan berkenaan ditempa menggunakan Mercedes-AMG A45 W176 #148 pasukan Papaya Autohaus.

Faidzil yang dibantu oleh dua lagi pemandu lebih muda iaitu Muhamad Nurazmi dan Ariff Hanafiah, memulakan perlumbaan yang dilepaskan pada pukul 5.30 petang 30 Ogos berkenaan di petak pertama selepas mencatatkan masa terpantas 2 minit 27.462 saat ketika sesi kelayakan. A45 dipandu oleh trio berkenaan yang berentap dalam kelas Super Series Limited boleh dikatakan mendominasi perlumbaan ini hampir sepenuhnya dan hanya dipintas ketika membuat hentian pit, menamatkan 111-lap sekitar pukul 10.30 malam.

“Ini adalah hasil usaha berpasukan. Kami telah berlumba dengan A45 untuk beberapa waktu dan mencapai beberapa keputusan yang kukuh sebelum ini, kami mempunyai data yang mencukupi untuk menyediakan kereta dengan baik. Kami membuat empat hentian pit semasa perlumbaan. Kami tahu bahawa kami perlu membuat lebih banyak hentian pit berbanding pasukan lain, namun kami hanya menumpukan perhatian untuk menetapkan rentak yang kompetitif dan konsisten,” kata Faidzil.

“Kami agak yakin bahawa kereta ini akan membawa kami melintasi garisan penamat tetapi untuk melakukannya, ketiga-tiga pemandu perlu berdisiplin, memandu dengan waspada dan berhati-hati dengan kereta. Sungguh hebat dapat kembali ke podium pemenang dan memenangi perlumbaan keseluruhan buat kali kedua,” tambahnya.

Toyota GR Yaris pasukan #47 yang dipandu oleh seorang lagi pelumba berpengalaman, Syahrizal Jamaluddin bersama protege-nya, Muhammad Hasif menjadi jentera kedua yang berjaya menamatkan perlumbaan ini dengan jumlah 111-lap penuh, namun tertinggal 1 minit 44.184 saat di belakang A45 #148 Papaya Autohaus. Keputusan ini membolehkan Syah dan Hasif menduduki podium kedua keseluruhan dan kedua dalam kelas Super Series Limited.

Tempat ketiga pula adalah milik pasukan Kegani Racing Academy yang membariskan prinsipal pasukan tersebut iaitu Kenny Lee, bersama pelumba dan juga protege Kenny iaitu Loke Yin Yi serta pemandu dari Norway, Daniel Storkensen. Pasukan ini berada 3 lap di belakang, namun pujian harus diberikan kerana kejayaan ini dicipta hanya menerusi Toyota Levin AE111 dengan enjin asal 4A-GE 1.6 liter 20V #361 yang menghasilkan kuasa hanya separuh dari Mercedes-AMG A45 dan Toyota GR Yaris di hadapannya.

“Perlumbaan Merdeka MSF sentiasa diingati dan sekali lagi kami telah membuktikan bahawa kami sekali lagi boleh mengalahkan banyak kereta baharu di grid. Kereta ini bagus, manakala pasukan pula melakukan kerja yang luar biasa dalam menyediakannya (kami mengalami masalah kotak gear beberapa hari sebelum hujung minggu perlumbaan), dan kami mempunyai rentak yang baik sepanjang kelayakan dan perlumbaan. Kali terakhir kami berlumba dengan kereta ini adalah pada tahun 2024,” kata Kenny Lee.

Bukan itu sahaja, jentera Levin Kegani Racing Academy ini juga berjaya naik semula ke tempat ketiga keseluruhan selepas jatuh ke tempat kelima kerana berhadapan dengan masalah hos sistem klac yang bocor, mengambil masa selama 11-minit untuk diperbaiki di dalam pit. Keputusan ini turut membolehkan Kegani Racing Academy menjadi juara kelas Super Compatto dalam MSF Merdeka Race 111-lap tahun ini.

MSF Merdeka Race 111-lap 2026 – Faidzil Alang pertahan kejuaraan kali kedua dengan Mercedes-AMG A45!

“Kru mengambil masa 11 minit untuk membawa kami kembali ke litar dan sejak itu, saya mula berusaha. Kami kembali mendahului kelas dengan baki lapan pusingan,” jelas Kenny lagi.

Ini merupakan kali ke-9 Malaysia Speed Festival (MSF) menganjurkan Merdeka Race, iaitu perlumbaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang diinspirasikan dari perlumbaan ketahanan Merdeka 300km dan Merdeka Millenium Endurance sebelum ini.

Bagi tahun 2026, sebanyak 63 kereta berentap dalam perlumbaan 111-lap, di mana ia menampilkan lapan kelas berbeza iaitu Super Series Limited, EXN GT86 x BRZ Racing Cup, Super Compatto, Standard Production, Standard Production MAX, Super Production, SWX dan K-Series Battle.

Selain perlumbaan utama 111-lap ini MSF turut menganjurkan Merdeka 75 Cup, iaitu perlumbaan ketahanan 75-lap berlangsung pada hujung minggu yang sama dan menampilkan empat kelas termasuk Saga Cup, MyVi Cup, CamPro Cup dan Tuner Production.

Tidak cukup dengan itu, dalam hujung minggu yang sama MSF Merdeka Race ini turut menampilkan perlumbaan Skilldrvn One make Race Series, serta perlumbaan motosikal kelas Superbike dalam MotoMSF Merdeka 33-Lap Endurance Race dan juga motosikal Harley Davidson untuk perlumbaan American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft. Secara keseluruhan sejumlah 200 jentera perlumbaan dan 300 orang pelumba bersaing dalam hujung minggu MSF Merdeka Race 2026 ini di Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula 29 hingga 30 Ogos lalu.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan, pemandu, rakan kongsi dan penaja yang terus menjadikan acara ini salah satu acara yang paling dinanti-nantikan setiap tahun. Perlumbaan 111-lap Merdeka MSF merupakan tonggak perlumbaan akar umbi di Malaysia. Tahun ini acara ini telah menarik lebih ramai pemandu serantau dan antarabangsa dan pada masa hadapan, kami percaya ia juga akan mengukuhkan kedudukannya sebagai medan pembuktian yang kukuh untuk bakat baharu membuat penampilan,” kata Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid.

Keputusan Perlumbaan MSF Merdeka 111-lap 2026 adalah seperti berikut:

KESELRUHAN
1. Faidzil Alang/Muhamad Nurazmi/Arif Hanafiah
2. Syahrizal Jamaluddin/Muhammad Hasif
3. Kenny Lee/Loke Yin Yi/Daniel Storkensen

SUPER SERIES LIMITED
1. Faidzil Alang/Muhamad Nurazmi/Arif Hanafiah
2. Syahrizal Jamaluddin/Muhammad Hasif
3. Lim Chi Hong/Mohd Faisal Naim

EXN GT86 X BRZ RACING CUP
1. Daniel Harris Jaeggi/Lew Xuan Yan
2. Ethan Ong/Pepito S. Lo/Andre Makkina Tan
3. Chang Choon Ming/Tan Eng Ping/Tan Hong Xin

SUPER COMPATTO
1. Kenny Lee/Loke Yin Yi/Daniel Storkensen
2. Foo Yung Chieh/Freddie Ang
3. Lim Ee Cheok/Ng Wui Leng

STANDARD PRODUCTION
1. Lim Jian Hong/Lim Zheng Chuen/Xie Boyu Jonathan
2. Soh Chee Siang/Lee Chee Wan/ Lester Lian
3. Luke Anton Netto/Mark Gerard Netto/Richard Mark Waller

STANDARD PRODUCTION MAX
1. Khair Nur Adi/Khair Nur Adli/Mohamad Anaqi
2. Chang Tze Seng/Tay Jin Yang
3. Marcus Ong Jin Yeong/Ong Gee Yeong

SUPER PRODUCTION
1. Soon Chew Poh/Ling Guang You/Wong Mun Seong
2. Justin Yap/Alvin Toh/David Kang/Ong Jin Long
3. Brandon Choong/Wong Kok Yong/Kang Chin Wan

K-SERIES BATTLE
1. Dante Clement/Joshua Thiran/Ng Zhang Jack
2. Nah Jie Ying/Carmina Wong/Lim Jun Cheng
3. William Yong/Mohd Faizal naim/Wan Fadli Shah

SWX
1. Kendrew Wong/Calix Yip
2. Tham Li Ming/Teo Zhengyi/Mohd Irwan/David
3. Shawn Tan/Ji Min Lin/B. Kishen

MOTOMSF MERDEKA 33-LAP ENDURANCE
1. Dhiraj Tan/Sankaran Shamugam
2. Mohd Fahmi Abdul Wahaf/Mohd Radzi Omar
3. Ng Wei Shyang/Ke Huanni