Polis siasat kanak-kanak duduk di bumbung Alphard yang sedang bergerak di Ipoh, pemandu sedang dijejaki

Satu lagi tindakan yang boleh merbahayakan keselamatan penumpangnya apabila pemandu sebuah Toyota Alphard ‘membenarkan’ dua orang kanak-kanak duduk di atas bumbung MPV terbabit yang sedang bergerak. Kejadian ini dipercayai berlaku di di Jalan Meru-Jelapang, Ipoh, Perak. Perkara ini bukan sahaja mendapat perhatian para netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan tersebut, malah pihak polis turut memaklumkan kejadian ini sedang dalam siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib, pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut yang videonya tular di laman media sosial, mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kami sudah mengenal pasti pemilik kenderaan itu yang mendakwa menjadikan Toyota Alphard terbabit sebagai kenderaan sewa. Walau bagaimana pun, usaha mengesan pemandu ketika kejadian berlaku sedang dijalankan,”katanya.

Tambahnya, tindakan ini boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak. Sehubungan dengan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001. Beliau turut menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, dan mereka yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Zurainie Syamira Mohd Zainudin di talian 017-955 8984.