Mitsubishi Pajero generasi kelima telah didedahkan secara rasmi untuk peringkat global pada 2 September lalu. Ketika itu Mitsubishi telahpun mengesahkan bahawa Pajero generasi baharu ini diasaskan dari platform ladder frame yang sama dengan Mitsubishi Triton, dan ia akan diproduksi di kilang yang sama dengan trak pikap berkenaan di Thailand.
Ia kemudiannya akan dieksport ke Jepun dan Australia pada tahun fiskal 2026 syarikat tersebut – spesifikasi untuk model pasaran Australia kini sudahpun diperincikan dan ia disahkan akan dilancarkan di sana pada bulan Disember tahun ini.
Mitsubishi Pajero 2027 akan ditawarkan dalam empat varian di sana, bermula dengan varian asas GLS lima-tempat duduk dijual pada harga AU$68,490 (RM198,600), GLS tujuh-tempat duduk berharga AU$69,990 (RM202,900), serta dua varian lebih tinggi yang hanya ditawarkan dalam versi tujuh-tempat duduk iaitu Exceed berharga AU$79,990 (RM231,900) dan GSR berharga AU$84,990 (RM246,400).
Dengan harga yang ditawarkan ini, varian asas Pajero di Australia adalah lebih murah berbanding varian asas Toyota Land Cruiser Prado yang dijual pada harga AU$73,200 (RM212,300). Namun ia adalah lebih mahal berbanding SUV yang diasaskan dari trak pikap Ford Ranger iaitu Ford Everest yang dijual bermula AU$58,990 (RM171,100), dan juga GWM Tank 500 yang dijual pada harga AU$65,990 (RM191,400). Sebagai perbandingan, Ford Everest dan juga GMW Tank 500 dijual pada harga melebihi RM300,000 di Malaysia, dan sekiranya Pajero di jual di sini pastinya harga yang ditawarkan juga lebih tinggi.
Seperti yang disebutkan tadi, Pajero 2027 ini diasaskan dari platfrom ladder frame yang sama dengan Mitsubishi Triton. Jadi model generasi terkini ini lebih mirip kepada Pajero Sport, berbeza dari empat generasi Pajero ‘sebenar’ sebelum ini yang dibina menggunakan platform casis unibody tersendiri. Ini juga kali pertama pasaran Jepun akan menerima Pajero yang diimport dari fasiliti pemasangan Mitsubishi di luar negara.
Walau bagaimanapun, model generasi baharu ini masih dihasilkan dengan saiz sedikit lebih besar berbanding model generasi keempat yang muncul pada 2006 dan dihentikan produksi pada 2021. Secara spesifiknya ia menampilkan dimensi panjang 4,920 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,910 mm, dan juga jarak roda sejauh 2,870 mm – atau 20 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar, 20 mm lebih tinggi dan jarak roda 90 mm lebih jauh. Saiz ini juga adalah jauh lebih besar sekiranya dibandingkan dengan Pajero Sport generasi ketiga, iaitu 95 mm lebih panjang, 110 mm lebih lebar, 85 mm lebih tinggi dan jarak roda 70 mm lebih jauh.
Dan walaupun ia menggunakan kerangka ladder frame yang sama dengan Triton, Mitsubishi telah merombak tetapan suspensi dan juga casis Pajero ini agar ia lebih selesa sebagai sebuah SUV tetapi dalam masa yang sama masih berkebolehan sebagai kenderaan rentas negara melalui laluan permukaan off-road.
Pada bahagian hadapan, kerangka ini diberikan suspensi jenis double wishbone, manakala di belakang perbezaan Pajero dengan Triton lebih ketara dengan pemadanan suspensi jenis lima-hubungan, yang turut menampung gandar belakang jenis rigid bersama spring jenis gegelung pada SUV ini, berbanding spring dedaun pada trak pikap.
Suspensi berkenaan turut menampilkan penyerap hentak dengan strok panjang serta respon yang lebih tinggi, trek roda yang lebih lebar serta bar anti-oleng yang turut memberikan tindak balas lebih cepat.
Selain itu ia telah menguatkan lagi cagak-cagak badan pada casis bagi menyisihkan getaran badan yang tidak diperlukan ketika dipandu pada permukaan jalan yang kasar, secara tidak langsung turut memberikan pengendalian serta keselesaan yang lebih baik. Penambahbaikkan ini didakwa membuatkan kerangka Pajero 2027 ini jauh lebih tegar berbanding kerangka Pajero Sport generasi terakhir.
Pajero 2027 ini turut digerakkan oleh enjin diesel 2.4 liter dengan pengecas turbo tunggal bervariasi (VGT) sama seperti Triton. Namun ia telah menerima pengecas turbo yang dikemaskini serta unit intercooler yang menerima bantuan penyejukkan air. Kuasa yang dihasilkan tidak berubah iaitu 204 PS, namun tingkat taraf yang dibuat ini memberikan Pajero tork 10 Nm lebih besar dari Triton iaitu 480 Nm.
Enjin ini juga diberi rombakan bagi membolehkan ia berfungsi lebih mesra alam dengan suntikan cecair AdBlue dan juga diberikan fungsi auto start/stop ketika kelajuan pepura.
Kuasa dari enjin dialirkan ke kotak gear automatik lapan-kelajuan (8AT) yang lebih ringan serta nisbah lebih luas berbanding Triton yang masih menggunakan transmisn 6AT, serta sistem pacuan empat-roda Super Select 4WD-II, dipadankan sekali dengan teknologi Super-All Wheel Control (S-AWC) yang sebelum ini diperkenalkan pada Lancer Evolution X.
Sistem berkenaan turut menampilkan fungsi Active Yaw Control (AYC) – namun tidak seperti sistem pada Lan Evo di mana tork diagih menerusi differential jenis aktif, agihan tork sistem AYC pada Pajero ini hanya akan menggunakan pemvektoran dari sistem brek.
Teknologi-teknologi ini akan menawarkan beberapa mod pemanduan mengikut keadaan permukaan bersama sistem SS4-II yang membolehkan pemandu memilih pacuan roda belakang (2H), pacuan empat roda sepenuh masa (4H) dan unit differential tengah yang dikunci (4HLc), nisbah gear rendah serta fungsi differential boleh kunci (4LLc). Mitsubishi juga menyediakan tujuh mod pemanduan untuk unit rangkaian kuasa in termasuk Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand, dan Rock.
Gandingan semua ini membolehkan Pajero mempunyai kapasiti brek menunda mencecah 3.5 tan, dan ia turut dibantu dengan Trailer Load Assist (TLA) yang beroperasi menerusi sistem pendikit dan brek, berfungsi menstabilkan treler yang ditunda sekiranya ia bergoyang.
Rupa luaran Pajero generasi baharu ini menampilkan rekaan berkotak bersama bahagian muncung yang landai diinspirasikan dari empat Pajero generasi sebelum ini yang bermula sejak 1982 dan berakhir pada 2021. Muka SUV ini dikatakan diinspirasikan dari seni mempertahankan diri Kendo yang mementingkan disiplin dan ketenangan. Ia menampilkan set lampu nyalaan siang LED berbentuk-T yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat membelok, bersambung dengan jalur LED sehingga ke logo ‘tiga berlian’ di tengah, manakala lampu LED projektor utama bersaiz kecil terletak dicelah antara DRL dan bampar.
Dua rekaan gril ditampilkan untuk Pajero generasi baharu ini iaitu gril dengan jalur krom melintang dan juga gril dengan elemen sarang lebah kemasan hitam berkilat. Kemasan berbentuk skid plate turut ditampilkan di bawah bampar hadapan untuk memberikan imej lasak.
Keempat-empat fender Pajero ini direka ‘kembung’ bagi memberikan imej berotot, manakala bumbung hitam serta kemasan pada tiang-C model ini diinspirasikan dari rekaan roll bar Pajero generasi pertama, khususnya model jarak roda pendek tiga-pintu. Manakala di bawah bendul, ia diberikan pemijak kaki bagi memudahkan pemandu dan penumpang ‘memanjat’ naik untuk masuk ke kabin SUV ini.
Tiada lagi tayar gantian disangkut pada pintu tailgate belakang, namun bahagian tersebut direka dengan motif berbentuk heksagon didakwa bagi memperingati rekaan tayar gantian tersebut. Lampu belakang turut direka berbentuk-T dengan jalur-jalur LED melintang, namun sekiranya anda perhatikan lampu pada bahagian sisi yang menegak ada mengambil inspirasi dari lampu Pajero generasi sebelum ini. Bahagian bawah bampar belakang turut menampilkan kemasan skid plate bagi melengkapkan imej lasak SUV ini.
Menurut Mitsubishi, lampu-lampu LED hadapan dan belakang bagi Pajero varian tertinggi GSR di Australia akan menampilkan animasi ‘selamat datang’ apabila kunci dibuka, dan animasi ‘selamat tinggal’ selepas pemandu mengunci semula dan meninggalkan SUV ini.
Masuk ke kabin, Pajero generasi baharu ini menampilkan rekaan papan pemuka ringkas dengan motif melintang, menyerlahkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 14.3-inci (12.3-inci untuk varian lebih rendah). Skrin di hadapan pemandu berperanan sebagai paparan instrumen digital dengan 16 tema latar belakang yang boleh berubah secara masa sebenar berdasarkan waktu hari berkenaan serta visual berlainan untuk setiap mod pemanduan yang dipilih.
Manakala di tengah adalah skrin sesentuh infotainmen yang turut memaparkan Multi-meter yang memberikan pelbagai informasi pemanduan, khususnya untuk pemanduan off-road termasuk bacaan altitud, bacaan kompas, suhu persekitaran, sudut pitch dan roll kenderaan serta agihan tork antara roda kiri dan kanan – diispirasikan dari meter ‘tiga-beradik’ analog Pajero generasi terdahulu.
Selain itu skrin infotainmen tersebut menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta turut memberikan paparan bagi fungsi 3D Multi Around Monitor (kamera 360-darjah) yang turut menampilkan mod lantai lutsinar, menunjukkan permukaan jalan sebenar yang tidak nampak di bawah lantai.
Pajero masih dibekalkan dengan suis-suis kawalan fizikal yang diletakkan pada bahagian bawah skrin tengah berkenaan, dan model pasaran Australia ini disahkan menerima port USB-C 27-watt dan pengecas tanpa wayar 15-watt.
Bahagian dalaman Pajero ini juga menampilkan material sentuhan lembut, bersama teknik jahitan diinspirasikan dari kraftangan tradisional Jepun yang dikenali sebagai Kimekomi, yang boleh ditemui pada kemasan paparan instrumen dan juga panel-panel dalaman pintu – namun penawaran ini masih bergantung pada varian.
Bagi model pasaran Australia ini, varian asas GLS diberikan tempat duduk dengan upholsteri fabrik kalis air dengan larasan manual. Varian Exceed pula menerima tempat duduk upholsteri kulit serta fungsi pemanas dan larasan bantuan kuasa. Manakala bagi varian tertinggi GSR, ia ditambah dengan fungsi pengalir udara pada tempat duduk dan tema warna dalaman Camel (tan). Model pasaran Australia ini juga ditawarkan dengan peti sejuk, bumbung panaromik, cermin pandang belakang digital serta sistem bunyi Yamaha Ultimate dengan 12-pembesar suara.
But belakang SUV ini menawarkan ruang kargo berkapasiti 519 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat, serta tambahan ruang 10 liter yang tersembunyi di bawah lantai. Keselesaan dalam kabin turut dipertingkat menerusi pemadanan pengedap bunyi secara komprehensif, penggunaan cermin hadapan dan cermin tingkap akustik serta pelbagai proses lain turut dibuat bagi “mengurangkan bunyi secara ekstensif” pada bahagian badan dan lain-lain
Untuk keselamatan pula, Pajero 2027 pasaran Australia ini dilengkapi dengan lapan-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk MI-Pilot yang mengintegrasikan sistem cruise control adaptif (ACC) bersama Bantuan Kekal Lorong (LKA).
Fungsi lain untuk bantuan pemanduan termasuk brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, bantuan berhenti kecemasan, pemantau titik buta dengan pengelak pelanggaran, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran mula gerak kenderaan hadapan, kawalan salah pijak pedal, pengenal tanda trafik, pemantau perhatian pemandu, dan juga pengingat tempat duduk belakang.
Selain Thailand, Jepun dan Australia, Mitsubishi mengesahkan bahawa Pajero generasi kelima ini turut akan dijual ke sekitar 100 pasaran di seluruh dunia, termasuk ASEAN, Amerika Latin (lazimnya ia dikenali sebagai Montero di pasaran tersebut) dan juga Timur Tengah bermula tahun fiskal 2027.
Namun masih belum ada kepastian sama ada ia akan kembali ke Malaysia atau tidak. Mitsubishi Motors Malaysia sudah lama menghentikan jualan Pajero Sport di sini kerana dengan struktur cukai yang ada menyebabkan SUV tersebut dijual pada harga yang tidak kompetitif. Mungkin nasib yang sama akan turut menimpa Pajero generasi baharu ini?











