Pencuri ambil masa dua minit untuk curi kereta – Polis

Sindiket curi kenderaan yang menggunakan teknologi atau kaedah canggih untuk mencuri kenderaan khususnya yang bernilai tinggi boleh melakukannya dalam tempoh hanya dua hingga lima minit, laporan New Straits Times.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata sindiket curi kenderaan kini semakin menyasarkan model yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran. Menurut beliau, sindiket terbabit turut diketahui menggunakan kenderaan sewa serta peralatan elektronik khusus bagi memintas sistem keselamatan kenderaan.

“Antaranya ialah peranti yang mampu memprogram atau menjana kunci kenderaan bergantung kepada model serta ciri keselamatannya. Ini menunjukkan bahawa kaedah pencurian turut berkembang seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, destinasi kenderaan yang dicuri bergantung kepada jenis kenderaan serta objektif sindiket berkenaan. Sebahagian daripadanya, seperti motosikal dan lori, dibawa ke bengkel haram untuk dileraikan bagi mendapatkan alat ganti. Sementara itu, tiga corak utama telah dikenal pasti bagi kes kecurian kereta.

Pencuri ambil masa dua minit untuk curi kereta – Polis

Kumar turut berkata, kenderaan yang dicuri akan diubah suai, termasuk menukar identitinya, dileraikan untuk mendapatkan alat ganti atau diseludup keluar dari Malaysia, termasuk ke Thailand. Selain itu, tambahnya, pemilik kenderaan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada sistem keselamatan yang dipasang oleh pengeluar dari kilang.

Sebaliknya, mereka disaran menggunakan pelbagai lapisan perlindungan bagi mengurangkan risiko kecurian kenderaan. Antaranya ialah memastikan kenderaan sentiasa dikunci dan tidak ditinggalkan tanpa pengawasan ketika enjin masih hidup. Pemilik juga perlu memastikan kunci disimpan dengan selamat serta menggunakan ciri penjejakan dan pemberitahuan sekiranya fungsi tersebut tersedia pada kenderaan masing-masing, katanya.

Secara keseluruhannya, kes kecurian kenderaan di Malaysia menunjukkan trend penurunan, iaitu sebanyak 11.3%, daripada 14,201 kes pada 2024 kepada 12,599 kes pada 2025, menurut laporan akhbar berkenaan.