Proton catat eksport bulanan tertinggi sejak Januari 2011; dipacu model Geely yang di pasang Tanjong Malim

Proton mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan jumlah eksport bulanan tertinggi pada Ogos 2026, sejak rekod yang dicatat pada Januari 2011. Perkara ini disebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam bagi mengumumkan prestasi jualan bulanan keseluruhannya bagi bulan lalu.

Untuk lebih spesifik, Proton telah mengeksport sebanyak 2,477 unit kenderaan keluar Malaysia sepanjang Ogos 2026, menjadikan jumlah kumlatif eksport untuk lapan bulan pertama tahun ini mencecah 6,059 unit. Jumlah berkenaan sudahpun melebihi eksport keseluruhan tahun 2025 yang mencatatkan jumlah 6,000 unit.

Jumlah keseluruhan eksport ini bukan hanya untuk kenderaan dengan jenama Proton, malah ia turut dipacu oleh kenderaan-kenderaan dengan lencana Geely yang dipasang oleh Proton di Tanjong Malim. Proton mula memasang model-model Geely di kilang miliknya itu sejak lewat 2024 bermula Geely Coolray (kembar X50) bagi pasaran Vietnam.

Proton catat eksport bulanan tertinggi sejak Januari 2011; dipacu model Geely yang di pasang Tanjong Malim

Kini Proton turut memasang model-model Geely yang lain selain Coolray iaitu Emgrand (kembar S70) dan Okavango (kembar X90) yang dieksport ke pasaran lebih luas termasuk Afrika Selatan, Indonesia dan juga Mexico.

Menurut Proton, dengan memasang model-model Geely ini ia dapat mencapai skala ekonomi yang lebih luas, serta memmbantu vendor-vendor tempatan dengan membekalkan komponen dengan jumlah lebih banyak. Syarikat itu turut menambah lebih banyak tempahan komponen akan dibuat sepanjang tahun ini – antaranya kerana Saga MC3 akan mula dieksport ke Filipina sebagai model rebadge Geely pada suku keempat nanti.

“Pemasangan kenderaan Proton di Malaysia untuk pasaran Geely merupakan antara fokus utama yang penting dalam meningkatkan jualan eksport. Aktiviti ini meningkatkan penggunaan kapasiti barisan pemasangan di kilang, di samping menyumbang kepada peningkatan jumlah perniagaan bagi vendor Proton serta memberi sumbangan positif kepada imbangan perdagangan Malaysia,” kata naib CEO Proton, Abdul Rashid Musa.