Leapmotor C10 dan B10 CKD yang dipasang di Gurun sudah ada dalam pasaran; ada opsyen kunci fizikal biasa

Stellantis Malaysia hari ini mengumumkan bahawa dua model EVnya iaitu C10 dan B10 yang sudahpun dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang Stellantis di Gurun, Kedah telah berada dalam pasaran tempatan.

Stellantis yang memegang kepentingan dalam Leapmotor, dan bertanggungjawab untuk memasarkan produk jenama tersebut di luar China telah melabur sejumlah 5.3 juta euro (RM24.9 juta) untuk membangunkan keupayaan pengeluaran tempatan Leapmotor di kilang tersebut, dan dalam masa yang sama turut menaik taraf barisan produksi dan infrastruktur fasiliti yang diperolehi daripada Naza pada tahun 2021 itu.

Dalam kenyataan yang sama Stellantis Malaysia turut menyatakan bahawa Leapmotor dan Stellantis beroperasi di bawah rangka kerja pematuhan global yang disatukan, bagi memastikan piawaian pembuatan untuk semua model yang dipasang di sini tidak dikompromi.

Leapmotor C10 dan B10 CKD yang dipasang di Gurun sudah ada dalam pasaran; ada opsyen kunci fizikal biasa

Beberapa perubahan telah dibuat pada kedua-dua model EV CKD Leapmotor ini. Bagi model C10, ia kini ditambah dengan dua pilihan warna baharu iaitu Violet dan Lightning White di samping warna Canopy Grey dan Glazed Green yang masih ada. Namun hanya warna pilihan warna badan hijau yang ditawarkan dengan kabin dengan warna Camel Brown, sementara pilihan warna badan lain diberikan kabin dengan tema berwarna hitam.

Leapmotor C10 CKD ini dijual pada harga RM129,000, dan ia digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 218 hp dan tork 320 Nm, menerima kuasa dari pek bateri 69.9 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 424 km menurut ujian WLTP.

Manakala bagi B10 yang lebih kecil, ia kini hanya ditawarkan dalam varian Design dijual pada harga RM118,800, dan tiada lagi varian asas Life seperti versi diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini. Empat warna badan ditawarkan iaitu Starry Night Blue, Tundra Grey, Metallic Black dan Light White, di mana semuanya datang dengan bahagian dalaman berwarna Dark Grey.

Leapmotor C10 dan B10 CKD yang dipasang di Gurun sudah ada dalam pasaran; ada opsyen kunci fizikal biasa

Juga sama seperti versi CBU, B10 CKD ini menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/240 Nm memacu roda belakang, yang digerakkan oleh bateri 67.1 kWj bagi memberikan jarak gerak 434 km mengikut kitaran ujian WLTP.

Dan berita baik untuk mereka yang tidak mengemari kad kunci NFC bagi B10 dan C10 sedia ada yang perlu di-tap pada cermin sisi kanan, sekarang Leapmotor Malaysia sudahpun menawarkan kunci dengan kawalan jarak jauh fizikal biasa yang sama seperti kereta-kereta lain. Walau bagaimanapun dengan kunci fizikal berkenaan, pemandu masih perlu meletakkan kad kunci pada konsol tengah ataupun menggunakan pin.

Kunci fizikal ini ditawarkan secara opsyen untuk pembeli-pembeli baharu dan juga pemilik B10 dan C10 sedia ada dengan harga RM500 sekali dengan proses konfigurasi. Untuk yang berminat, anda boleh menghubungi pengedar Leapmotor terdekat untuk lebih perincian.