Anda tentu pernah dengar khabar angin bahawa Proton S70 bakal ditawarkan dengan enjin NA dan kotak gear CVT dengan harga lebih murah bagi menggantikan tempat Proton Persona yang sudahpun dihentikan pengeluarannya bukan? Hari ini Proton telahpun mengesahkan khabar angin berkenaan dengan mengumumkan dua varian baharu untuk S70 iaitu S70 i-GT Lite dan S70 i-GT Prime, di mana kedua-duanya sudahpun boleh ditempah!
Harga sebenar kedua-dua varian berkenaan masih belum diumumkan, namun menurut Proton ia disahkan akan bermula bawah RM60,000. Proton turut mengumumkan bahawa bagi pelanggan yang menempah model ini sebelum 31 Disember turut akan menerima ganjaran istimewa yang akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Walau bagaimanapun, menerusi hantaran yang tular di laman-laman sosial termasuk di Facebook Group paultan.org Automotive/Car Discussion, varian Lite dianggar dijual pada harga RM55,000 hingga RM59,000, manakala Prime pula dianggar berharga RM65,000 hingga RM69,000.
Proton tidak menyatakan spesifikasi sebenar enjin 1.5 liter NA yang dipadankan pada S70 Lite dan Prime ini, namun sekali lagi berdasarkan hantaran media sosial yang tular, ia menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti enjin 1.5L i-GT yang padankan pada Saga MC3 iaitu 120 PS dan tork maksima 150 Nm.
Walau bagaimanapun, kotak gear CVT yang dipadankan adalah berbeza dari Saga kerana berdasarkan gambar rasmi yang disiarkan oleh Proton hari ini menunjukkan bahawa kotak gear berkenaan menggunakan torque converter, berbeza dengan kotak gear CVT Punch pada Saga yang menggunakan start-clutch untuk mula menggerakkan kereta.
Jadi boleh diagak kotak gear yang dibekalkan pada S70 Lite dan Prime ini adalah sama seperti yang digunakan pada kembarnya iaitu Geely Emgrand, dibekalkan oleh Wanliyang (WLY) yang mempunyai lapan-kelajuan maya. Pada beberapa pasaran tertentu Emgrand ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kejuan, namun Proton memilih transmisi CVT untuk CVT di Malaysia mungkin kerana ia lebih sesuai, seiring dengan lawan terusnya seperti Toyota Vios dan Honda City yang menggunakan kotak gear sama.
Proton turut mengesahkan bahawa S70 dengan enjin NA dan kotak gear CVT ini akan diberikan tiga mod pemanduan, serta diberikan suspensi yang menerima talaan ‘Proton ride and handling’.
Pada sebelah luar, S70 dengan enjin NA ini nampak sama sepenuhnya dengan versi turbo MC1 sedia ada, dibezakan hanya pada gril hadapan hitam sepenuhnya tanpa kemasan krom pada pin dan kemasan perak pada pada bar atas serta ‘busur panah’ di bawah. Begitu juga di bahagian kabin, menerusi beberapa gambar yang disiarkan oleh Proton hari ini mendedahkan bahawa ia masih nampak sama, tetapi dengan skrin infotainmen lebih kecil dan hanya ditawarkan dengan paparan instrumen analog.
Antara perincian dalaman yang telah disahkan oleh Proton untuk S70 NA ini termasuk lima port USB, semua tingkap datang dengan fungsi Auto turun/naik dan Anti Trap, brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Auto Brake Hold, penghidup enjin jarak jauh serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar pada sistem infotainmen.
Manakala untuk keselamatan, kedua-dua S70 Lite dan Prime ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang, pengingat tempat duduk belakang serta beberapa sistem bantuan pemanduan termasuk pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, amaran buka pintu dan amaran pelanggaran belakang.
Berdasarkan brosur yang tersebar, dapat dilihat varian asas Lite akan menerima perincian standard seperti EPB, cruise control, lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16-inci, tempat duduk fabrik, skrin infotainmen lapan-inci yang dilengkapi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, kamera undur, penghidup enjin jarak jauh dan juga penderia parkir belakang.
Manakala bagi varian Prime pula ia menerima tingkat taraf perincian termasuk lampu hadapan LED automatik, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 17-inci, tempat duduk dan roda stereng balutan leatherette, pendingin hawa automatik serta penderia parkir hadapan. Lima warna ditawarkan untuk S70 1.5 NA ini iaitu Quartz Black, Space Grey, Snow White, Marine Blue dan Armour Silver.
Dengan pendedahan rupa S70 i-GT Lite dan Prime ini nampaknya mengesahkan perubahan rupa seperti dilihat pada unit-unit prototaip yang diuji di atas jalan raya awam hanya diberikan pada versi facelift S70 dengan enjin turbo. Versi facelift tersebut diberikan bampar hadapan dan belakang rekaan baharu, lampu hadapan yang digelapkan, lampu belakang yang nampak lebih nipis bersama grafik LED seperti Saga MC3, rim rekaan baharu, angkup brek berwarna merah serta empat tip ekzos diserlahkan seperti pada X50.
Kami difahamkan bahawa versi facelift untuk model 1.5 turbo ini juga akan menerima kemaskini papan pemuka baharu seperti yang diberikan pada X50 facelift. Rombakan rekaan luaran dan dalaman ini dibuat sendiri oleh Proton kerana tiada sebarang pembaharuan dibuat oleh Geely untuk Emgrand generasi keempat ini kerana ia sudahpun digantikan dengan model generasi kelima di China.
Apa pun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Proton untuk semua varian S70 NA dan turbo ini nanti untuk spesifikasi yang lebih terperinci dan tepat.











Proton S70
dari RM59,800
Proton X90
dari RM106,800
Proton eMas 7 PHEV
dari RM109,800
Proton X70
dari RM106,800
Proton Saga
dari RM38,990
Proton eMas 5
dari RM59,800
Proton X50
dari RM89,800
Proton eMas 7
dari RM103,800