Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pulau Pinang telah menyita sebanyak 11 kenderaan mewah pelbagai model menerusi Operasi Luxury yang diadakan pada 3 September 2026.
“Tindakan drastik ini diambil selepas kesemua kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang sah.
“Sikap tidak bertanggungjawab pemilik-pemilik kenderaan ini dianggarkan telah mengakibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM20 ribu akibat kegagalan memperbaharui cukai jalan,” kata JPJ negeri berkenaan.
Menerusi operasi berkenaan, salah sebuah kenderaan mewah yang disita serta merta ialah supercar Lamborghini Huracan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta. Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkuasa tinggi itu memandu dengan LKM yang telah tamat tempoh sejak Jun 2026. Selain itu, ia turut melibatkan Mercedes-Benz E250, GLC 300 dan Toyota Alphard.
“Nilai atau status sesebuah kenderaan bukanlah tiket untuk pemiliknya melanggar peraturan. Tindakan Penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan secara telus dan agresif tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, termasuk pemilik kenderaan mewah,” kata JPJ Pulau Pinang.
Dalam masa yang sama, JPJ Pulau Pinang turut mengeluarkan amaran keras kepada semua pemilik kenderaan agar tidak culas khususnya golongan berkemampuan yang memiliki kenderaan mewah supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya sedia ada.







