Stellantis Malaysia telah mengumumkan bahawa pemasangan tempatan bagi model B10 dan C10 kini telah dimulakan di kilang Stellantis di Gurun, Kedah. Pengumuman terbaru itu turut menyaksikan barisan penawaran bagi B10 turut melibatkan perubahan.
Ketika dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Disember tahun lalu, B10 ditawarkan dalam versi CBU yang diimport sepenuhnya, dengan dua varian sebagai pilihan. Ini termasuk varian paling asas Life dengan harga RM107,800, dan varian Design yang lebih lengkap dengan harga RM118,800.
Dengan pengenalan versi CKD kini, varian asas Life tersebut tidak lagi ditawarkan, menjadikan B10 Design sebagai satu-satunya varian yang ada untuk pasaran tempatan. Harganya juga kekal sama, iaitu RM118,800 atas jalan, belum insurans.
Spesifikasi dan kemasannya juga tidak berubah, dan perubahan dari segi pilihan warna luaran dan dalaman menjadi satu-satunya perbezaan. B10 Design pacuan roda belakang terus memanfaatkan rangkaian kuasa motor elektrik tunggal yang sama, dengan janaan 218 PS (215 hp, atau 160 kW) dan 240 Nm. Angka prestasi termasuk pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dengan laju maksimum 170 km/j.
Dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) oleh CATL dengan kapasiti 67.1 kWh, B10 Design mampu bergerak sejauh 434 km dengan sekali cas. Dari segi masa pengecasan, ia mengambil masa selama 5.6 jam untuk cas penuh menggunakan pengecasan AC 11 kW, sementara pengacasan pantas DC maksimum 169 kW memerlukan kira-kira 20 minit bagi SoC 30%-80%.
Ciri standard B10 termasuklah bumbung panoramik tetap (dengan pelindung matahari larasan kuasa), pendingin automatik (dengan corong belakang), panel paparan instrumen 8.8-inci dan skrin sentuh tengah 14.6-inci resolusi tinggi 2.5K dengan perisian Leap OS 4.0 Plus terkini, yang dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon SA8155 dan dilengkapi memori sehingga 16GB serta GPU Adreno 640 bersepadu.
Pada bulan Mac lalu, Leapmotor mengumumkan peningkatan dan kemaskini perisian over-the-air (OTA) yang memperkenalkan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta fungsi arahan suara yang diperluas dan mod pemanduan satu pedal.
Kelengkapan lain yang ada untuk B10 ini antara lain termasuklah dua ruang telefon bimbit dengan pad pengecas tanpa wayar 15 watt (yang di sebelah kanan) dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaraskan secara elektrik, dengan ciri pemanas dan berliang (enam-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang hadapan). Sama seperti sebelum ini, balutan tempat duduk untuk varian Design diperbuat daripada “kulit silikon” Oeko-Tex Standard 100 yang tahan cecair (sama seperti C10), tetapi dengan dua pilihan warna ketika pelancarannya. Kini hanya tinggal warna kelabu gelap sahaja ditawarkan untuk model CKD.
Selain itu, ada juga ciri seperti cermin sisi lipatan automatik, penggilap cermin dengan pengesan hujan, lampu ambient dengan 64-warna, tingkap privasi di belakang, pintu belakang larasan elektrik, sistem bunyi 12-pembesar suara dan empat port USB (satu Type-A 12-watt, satu Type-C 60-watt di bahagian hadapan; dan satu Type-A-12 watt dan satu Type-C 15-watt untuk bahagian belakang).
Versi CKD ini juga menerima satu ciri lain sebagai pilihan ketiga untuk mengakses dan mengendalikan fungsi penghidup kereta. Kini, selain sistem kad kunci asal dan aplikasi telefon bimbit, B10 juga hadir dengan ciri kunci fizikal biasa. Bagaimanapun, prosedur penghidup masih memerlukan sama ada kad kunci diletakkan pada konsol tengah, atau PIN. Lebih penting lagi, ia akan dikenakan kos RM500 seunit.
Akhir sekali, selain pengurangan pilihan warna dalaman kepada hanya satu, pilihan warna luaran juga telah dikurangkan. Ketika dilancarkan, ada lima pilihan warna luaran ditawarkan untuk B10, iaitu Starry Night Blue, Dawn Purple, Pearly White, Tundra Grey, dan Metallic Black. Untuk versi CKD ini bagaimanapun hanya tinggal empat; tiada lagi warna Dawn Purple.
Leapmotor B10 di Malaysia



Leapmotor B10
dari RM118,800
Leapmotor C10
dari RM129,000