Ketika melancarkan SUV EV Volvo EX90 pemasangan tempatan (CKD) pagi tadi, Volvo Car Malaysia (VCM) juga mengumumkan bahawa sedan EV ES90 kini turut menerima versi kemaskini, walaupun model berkenaan baru sahaja dilancarkan ke pasaran tempatan pada Januari lalu.
Bagi model kemaskini ini, ia menerima upholsteri kulit Nappa bagi menggantikan material kulit sintetik Nordico pada versi sebelumnya. Upholsteri baharu ini ditawarkan sama ada dalam warna Charcoal (hitam) atau warna baharu Cardamom yang lebih cerah, kedua-duanya dipadankan dengan perapi kemasan dalaman birch wood.
Pada versi asal, ES90 ini telahpun terus menerima sistem infotainmen dengan Google bina-dalam dengan sokongan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar. Manakala bagi versi kemaskini 2027 ini sistem berkenaan ditingkat taraf bagi membolehkan Android Auto juga dihubungkan tanpa wayar.
Manakala pada sebelah luar, ES90 2027 ini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Mulberry Red (juga merupakan salah satu warna ditawarkan untuk EX90 CKD)) dan Aurora Silver. Tiga warna dari pilihan sebelum ini iaitu Onyx Black, Crystal White dan Vapour Grey masih kekal, sementara pilihan warna Denim Blue pula kini telah telah digugurkan.
Selain itu ES90 ini juga dibekalkan dengan rim aloi 21-inci berbanding 22-inci pada versi asal. Tiada sebarang perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa termasuk motor elektrik dan bateri, namun jarak gerak bagi model kemaskini 2027 ini naik 11km dari 651 km kepada 662 km berdasarkan kitaran ujian WLTP – ini berkemungkinan adalah kesan dari penggunaan set rim berdiameter lebih kecil.
Oleh itu, Volvo ES90 ini masih dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 333 PS (245 kW) dan tork maksima 480 Nm memacu roda belakang, yang menerima kuasa dari bateri NMC berkapasiti 92 kWj (88 kWj boleh digunakan), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/ dalam masa 6.6 saat. Kelajuan maksimanya pula dihadkan hanya pada 180 km/j.
ES90 ini sememangnya terus diperkenal dengan menggunakan asas sistem elektrikal 800-volt, membolehkan cas bateri 10-80% dipenuhkan dalam masa 82 minit sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 50 kW, dan ia boleh menerima sehingga 350 kW membolehkan kadar cas yang sama dipenuhkan dalam masa hanya 22 minit.
Manakala dengan menggunakan wallbox fasa tunggal 7.2 kW, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 15 jam, dan ia turut boleh menerima pengecas wallbox tiga fasa AC 11 kW di mana cas penuh boleh dicapai dalam masa 10 jam.
Walaupun diberikan beberap tingkat taraf, Volvo ES90 2027 ini masih mengekalkan harga yang sama iaitu harga atas jalan tanpa insuran RM339,888. Malah VCM turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM17,600 serta pengecas Volvo wallbox berharga RM3,990.


Volvo ES90
dari RM339,888
Volvo XC60
dari RM328,888
Volvo XC90
dari RM418,888
Volvo EX90
dari RM428,888
Volvo EX30
dari RM198,888
Volvo EC40
dari RM248,888
Volvo XC40
dari RM268,888