Geely Starray EM-i – atau yang turut dikenali sebagai Proton eMas 7 PHEV – masih agak baru dalam pasaran. Bagaimanapun, model facelift-nya kini sedang dipersiapkan di China, yang turut dikenali dengan nama Galaxy Starship 7 di sana.
Kemaskini terbaru untuk model plug-in hybrid ini telah muncul dalam pemfailan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), seperti yang telah dilihat oleh Autohome.
Sama seperti EX5/Galaxy E5 yang malumatnya terlebih dahulu bocor, versi plug-in hybrid ini juga menerima rekaan baru untuk bampar hadapan yang lebih berkotak, lampu utama yang lebih besar ndengan visual bentuk U serta bukaan udara di sudut. Bagaimanapun, tiada perubahan di bahagian belakang, tetapi sekurang-kurangnya ada diberikan pilihan rekaan rim baru.
Paling utama ialah Galaxy Starship 7 versi facelift terbaru di China dijangka akan dilengkapi bateri LFP dengan kapasiti 40.06 kWh yang lebih besar, yang mampu memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga 230 km WLTP. Ini melibatkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan model semasa, yang memberikan jarak elektrik sejauh 83 km WLTP dengan bateri 18.4 kWh, dan 136 km dengan bateri 29.8 kWh.
Turut ditambah ialah versi dengan ciri pacuan semua roda, yang akan mengurangkan jarak elektrik sepenuhnya itu kepada 210 km. Tiada butiran lanjut mengenai sistem janaan setakat ini, tetapi ia berkemungkinan akan turut menerima motor elektrik belakang yang menjana sebanyak 109 PS/150 Nm, sama seperti versi yang baru diumumkan untuk pasaran Australia. Ia sepatutnya digandingkan dengan motor hadapan dengan janaan 218 PS/262 Nm, serta enjin BHE15-BFN 1.5 liter NA yang lebih berkuasa dan cekap, dengan kemampuan menjana sebanyak 111 PS dan tork 136 Nm.
Belum diketahui sama ada versi facelift ini akan sampai ke pasaran luar negara, termasuk Malaysia. Tambahan pula, Proton eMas 7 PHEV pula baru saja dilancarkan di sini pada awal tahun.









