Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM116,495 terhadap sebuah syarikat borong selepas mereka mengaku bersalah memiliki pelbagai barangan tiruan, termasuk 1,912 unit minyak enjin Perodua, dua tahun lalu, lapor Kosmo.
Happy Leaders Sdn Bhd didakwa memiliki pelbagai produk Minyak Tulen Perodua (PGO) tiruan, termasuk jenis Fully Synthetic, Mineral SAE, Semi Synthetic SAE dan Semi Synthetic SAE 5W-30, berjumlah 1,912 unit yang bertujuan untuk diperdagangkan. Syarikat itu juga didakwa memiliki 3,125 botol kosong berjenama Perodua, sembilan kotak label pelincir dan lapan kotak penutup kedap (seal cap) Perodua.
Kesalahan itu dilaporkan dilakukan di premis syarikat di Kampung Baru Sungai Buloh kira-kira jam 2.30 petang, 5 November 2024. Dakwaan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(i) akta yang sama.
Sejak sekian lama, Perodua telah memberi amaran kepada orang ramai berkaitan kewujudan PGO palsu dalam pasaran, dengan mengatakan bahawa PGO hanya boleh didapati di pusat servis Perodua yang sah, penjual yang sah serta stesen Petronas terpilih sahaja.








