Ford Bronco Basecamp masuk pasaran Australia 2027 – REEV keluaran China, WLTP 900 km, M’sia juga dapat?

Ford akhirnya mengesahkan bahawa Bronco New Energy pasaran China akan dibawa ke Australia pada separuh kedua 2027, namun dengan menggunakan nama Bronco Basecamp. Model SUV berkuasa elektrik ini bakal membantu Ford mempelbagaikan rangkaian modelnya ketika jualan Ranger dan Everest berdepan tekanan susulan harga diesel yang semakin tinggi di seluruh dunia.

Dibina oleh JMC, Bronco Basecamp menampilkan gaya 4×4 berkotak seperti Bronco sebenar, tetapi menggunakan casis monocoque yang lebih berorientasikan jalan raya biasa. Antara ciri reka bentuknya termasuk gril penuh dengan lampu utama bulat, cermin yang melingkari bahagian belakang serta pintu but buka ke tepi dengan tayar ganti bersaiz penuh. Elemen aerodinamik seperti ‘sayap’ di bahagian hadapan, salur udara lebih nipis dan pemegang pintu jenis pop-out turut digunakan.

Ruang kabin lima tempat duduknya pula hampir sama seperti versi China, kecuali ia hadir dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan. Reka bentuk papan pemuka lebih ringkas dengan panel instrumen 8.8 inci dan skrin infotainmen 15.6 inci. Turut disediakan dua pemegang telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar Qi, manakala penggunaan suis fizikal dikurangkan bagi memberikan penampilan kabin yang lebih moden.

Ford Bronco Basecamp masuk pasaran Australia 2027 – REEV keluaran China, WLTP 900 km, M’sia juga dapat?

Ford turut mengesahkan bahawa pelbagai ciri berkaitan aktiviti luar yang ditawarkan pada model asal akan dikekalkan untuk pasaran antarabangsa. Sebagai contoh, semua tempat duduk boleh dilipat sehingga rata sepenuhnya, membolehkan tilam angin bersaiz penuh dipasang di dalam kabin. Tilam tersebut ditawarkan sebagai sebahagian daripada aksesori katalog rasmi.

Terdapat juga ciri Wild Kitchen yang sebenarnya bukanlah dapur memasak atau sinki bersepadu, sebaliknya adalah meja lipat yang terbina pada pintu but dan boleh digunakan bersama pembuka botol, permukaan bermagnet serta soket kuasa tiga pin di ruang kargo. Varian Outer Banks paling tinggi turut menerima peti sejuk 7.5 liter pada konsol tengah dan bumbung pop-up ala kenderaan rekreasi.

Dengan ukuran panjang 5,025 mm, lebar 1,960 mm dan tinggi 1,825 mm, Basecamp adalah 215 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 42 mm lebih tinggi berbanding Bronco lima pintu. Menariknya, jarak roda kedua-dua model kekal sama pada 2,950 mm. Ini menjadikan Basecamp jauh lebih besar berbanding beberapa SUV berimej 4×4 lain seperti Jetour T2.

Buat masa ini, Ford hanya mengesahkan versi EV range extender untuk pasaran Australia, manakala versi elektrik sepenuhnya dengan bateri lebih besar masih belum disebut. Kuasa dijana oleh dua motor elektrik yang menawarkan pacuan semua roda, dibantu enjin empat silinder turbo 1.5 liter yang berfungsi sebagai penjana. Angka kuasa rasmi belum diumumkan, namun versi China menghasilkan 421 PS (310 kW) dan tork 600 Nm.

Model untuk Australia akan dilengkapi bateri lebih besar, berkapasiti 49 kWh, dengan jarak perjalanan keseluruhan dianggarkan antara 800 hingga 900 km mengikut kitaran WLTP. Ford masih belum mendedahkan angka jarak elektrik atau maklumat pengecasan, namun mengesahkan Basecamp akan menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output 6.6 kW.

Masih belum diketahui sama ada Bronco Basecamp akan ditawarkan di pasaran lain selepas Australia, namun kehadirannya dialu-alukan untuk pasaran Asia Tenggara. Malaysia juga berpotensi menjadi antara pasaran yang sesuai memandangkan kadar duti import dan eksais istimewa bagi kenderaan yang dibina di China boleh membantu menjadikan harganya lebih kompetitif, malah berpotensi lebih menarik berbanding Everest yang dipasang di Thailand.