GR Kart diperkenal – Go-Kart keluaran Gazoo Racing, RM10.2k; mudah simpan, angkut dan berlumba!

Sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing (GR) bukan sahaja diwujudkan oleh pengerusinya, Akio Toyoda sebagai pasukan lumba dan juga membina model-model prestasi produksi jalan raya. Ini kerana aktiviti GR adalah untuk membangunkan hampir keseluruhan industri sukan permotoran dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat dunia. Di Malaysia sendiri kita boleh tengok bagaimana TGR Malaysia melahirkan pelumba-pelumba hebat baharu seperti adik-beradik Naquib dan Nabil Azlan menerusi program TGR Rookies, mencungkil bakat-bakat baharu menerusi perlumbaan simulator eRacing Championship, serta menyediakan platform perlumbaan ‘one-make’ yang mudah diakses dan kompetitif Vios Gold Championship.

Program-program seperti ini bukan sahaja dijalankan di Malaysia, ia sebenarnya aktiviti yang dilakukan oleh kebanyakkkan pasaran di mana Toyota bertapak di seluruh dunia. Dan yang terbaharu, Gazoo Racing memperkenalkan GR Kart, iaitu Go-Kart yang direka untuk mudah disimpan, mudah untuk dibawa ke mana-mana, dijual pada harga mampu milik serta membuatkan satu-satu perlumbaan kart itu lebih mudah untuk dianjurkan, di mana kesemua faktor ini disasarkan bagi membolehkan lebih ramai orang terlibat terus dalam aktiviti sukan permotoran.

Seperti yang kita tahu, Go-Kart adalah antara langkah pertama untuk memulakan kerjaya sebagai pelumba, dan ia cukup sesuai untuk dikendalikan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Jadi GR Kart ini dibina selaras dengan visi Akio Toyoda untuk menjadi sukan permotoran lebih mudah diakses seperti sukan bola sepak dan bola lisut, kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

GR Kart ini dihasilkan dengan dimensi panjang 1,820 mm, lebar 1,160 mm, tinggi 670 mm dan jarak roda sejauh 1,045 mm. Dengan berat 83 kg, ia digerakkan oleh enjin 215 cc empat-lejang yang menerima suapan campuran udara dan bahan api menerusi sistem karburator.

Menurut Toyota, saiz GR Kart ini direka dengan mengambil kira faktor pengangkutan dan juga storan untuk seorang pelumba entry level. Ia boleh dibawa ke litar tanpa membuka sebarang komponen hanya dengan menggunakan MPV keluarga seperti Toyota Noah dan Voxy tanpa perlu menyewa atau memiliki kenderaan khas yang lebih besar.

Dengan karburator yang dipadankan diafragma tanpa pengapung kebuk serta oil catch tank yang direka khas, GR Kart ini boleh disimpan secara menegak tanpa masalah. Jadi ia tidak memerlukan ruang yang besar untuk menyimpannya di rumah biasa, di mana kedua-dua faktor ini telah mengurangkan kos pemilikan sebuah Go Kart.

GR Kart ini juga direka dengan kedudukan stereng boleh dilaras atas-bawah, pedal pendikit dan brek boleh digelangsarkan, membolehkan ia dipandu oleh kanak-kanak dengan ketinggian 135 cm sehingga orang dewasa berketinggian 185 cm. Ini membolehkan satu keluarga berkongsi hanya sebuah GR Kart ini untuk berseronok. Ia juga menyediakan ruang ballast yang mampu menampung berat sehingga 15 kg untuk melaras beratnya, serta ruang untuk memasang unit transponder.

Bagi memindahkan kuasa dari enjin ke roda belakang, GR Kart ini menggunakan sistem pacuan menggunakan tali sawat. Dengan sistem ini ia tidak perlu diminyakkan seperti sistem yang menggunakan rantai. Sistem ini juga turut dibekalkan dengan penegang tali sawat automatik yang tidak perlu lagi dilaras secara manual secara kerap. Selain itu GR Kart ini juga diberikan bateri yang boleh dicas sendiri, dan ia tidak memerlukan bateri gantian dan pemilik tidak lagi perlu mengecas bateri.

Toyota turut menyatakan bahawa penggunaan karburator diafragma tanpa pengapung kebuk pada GR Kart ini bukan hanya memudahkan proses penyimpanan, malah ia juga turut membantu prestasinya dalam litar di mana tidak akan berlaku situasi seperti ‘terputus bahan api’ sementara ketika kart ini dikenakan daya-G sisi yang kuat (ketika mengambil selekoh dengan laju contohnya). Ia juga dibekalkan dengan pam bahan api primer yang akan menyampaikan bahan api ke karburator sebelum enjin dihidupkan, memudahkan proses untuk menghidupkan enjinnya.

Rekaan GR Kart ini juga mengambilkira kebolehannya untuk bertahan lama, di mana syaf gandar belakang dibuat menggunakan logam tahan karat dan hos bahan api yang berada dalam tangki dibuat menggunakan logam bagi meminima kerosakan yang disebabkan gasolin itu sendiri.

Ia juga direka dengan mengambil kira keselamatan untuk pelumba-pelumba baharu, dengan bampar hadapan dibentuk bagi mengelakkan ia ternaik dan menghempap kart lain sekiranya terjadi pelanggaran di tayar belakang, diberikan pin penghenti pada hab belakang bagi mengelakkan hab tersebut tercabut sekiranya berlaku sesuatu, tempat duduk dengan bahagian khas pada sebelah atas yang membolehkan pemandu meletakkan tangan ketika duduk atau bangun dari kart tanpa terkena panas dari ekzos, serta cagak kabel pendikit yang direka untuk mengelakkan dari pendikit tersekat pada kedudukan terbuka.

GR Kart ini diproduksi oleh Gamagori GR KART Workshop di Wilayah Aichi, dan masih berpandukan prinsip Toyota Production System (TPS). Ia dijual pada harga 385,000 yen atau sekitar RM10.2k, dan hanya boleh dibeli di litar-litar Go-Kart dan juga GR Garage terpilih seluruh Jepun.

Toyota turut menawarkan pelbagai aksesori untuk GR Kart ini, serta aplikasi untuk membimbing pembeli untuk mendapatkan GR Kart Driver Passport, membolehkan mereka berlumba di litar-litar kart terpilih tersebut tanpa memohon lesen berasingan.