Jetour T2 i-DM PHEV dilancar di Malaysia pada 19 Sept — 1.5T, dua motor, jarak 1,200 km; anggaran RM169k

Jetour Malaysia telah mengumumkan bahawa SUV plug-in hibrid (PHEV) Jetour T2 i-DM bakal dilancarkan di Malaysia pada 19 September 2026 nanti. Sejak Jun lalu, model berkenaan telah mula dibuka untuk tempahan pelanggan di sini dengan harga anggaran RM168,888.

Model tersebut akan melengkapi barisan model T2 sedia ada di pasaran tempatan, yang terdiri daripada versi petrol sepenuhnya yang dilancarkan pada Mac lalu dengan harga RM157,000, serta versi edisi terhad T2 Dark Warrior yang diperkenalkan bulan lalu pada harga RM168,000.

Jetour T2 i-DM dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5 liter turbo suntikan terus, dua motor elektrik, dengan transmisi hibrid khusus (DHT) tiga-kelajuan, yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 360 PS dan tork 610 Nm. Dengan konfigurasi ini, T2 i-DM didakwa mampu mencapai jarak pemanduan elektrik sepenuhnya (EV) sejauh 100 km, dan memberikan jarak gabungan pemanduan sejauh 1,200 km.

Jetour T2 i-DM PHEV dilancar di Malaysia pada 19 Sept — 1.5T, dua motor, jarak 1,200 km; anggaran RM169k

Sebagai perbandingan, versi enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi T2 ini dilengkapi enjin petrol 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa sebanyak 245 PS dan 375 Nm, dengan kuasa tersebut disalurkan kepada keempat-empat roda melalui transmisi automatik klac berkembar basah tujuh-kelajuan yang turut menampilkan ciri paddle shifter.

Ketika mengumumkan tempahannya dibuka sebelum ini, Jetour Malaysia memaklumkan bahawa model SUV plug-in hybrid tersebut akan dilengkapi sistem ADAS Tahap 2 serta skrin untuk sistem infotainmen bersaiz 15.6-inci.

Jetour T2 i-DM PHEV dilancar di Malaysia pada 19 Sept — 1.5T, dua motor, jarak 1,200 km; anggaran RM169k

Berdasarkan unit yang dipamerkan ketika KLIMS 2026, kelengkapannya antara lain terdiri daripada rim aloi 20-inci dengan tayar bersaiz 255/55R20, paparan instrumen pemandu 10.25-inci, balutan kulit sintetik, serta tempat duduk hadapan larasan elektrik.

Jetour Malaysia juga menyatakan bahawa T2 i-DM akan dilengkapi dengan enam-beg udara, sistem pemantauan pandangan panoramik serta “pakej pemilikan dan jaminan yang menyeluruh.” Sebagai perbandingan, versi enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi T2 didatangkan dengan jaminan tujuh-tahun atau 150,000 km, jaminan untuk sistem janaan kuasanya selama 10-tahun atau satu juta km, serta pakej servis percuma sebanyak lima kali meliputi alat ganti dan kos buruh.

Tags: