Modenas hari ini mengumumkan, Z15GT ditawarkan dalam dua warna baru, bersama penambah baikan di beberapa bahagian bagi memastikan ketahanannya. Harga jualan masih dikekalkan pada RM8,288 seperti waktu ia dilancarkan tahun lalu, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Kedua-dua warna baru yang diperkenalkan untuk Z15GT ini adalah warna hijau, dengan dipanggil sebagai Amazon Green dan Lime Green, dipadankan bersama rim yang berwarna hitam. Reka bentuk panel badan masih lagi sama.
Bukan setakat warna, Modenas juga memberikan peningkatan pada tujuh bahagian, dengan kebanyakannya melibatkan ketahanan, seperti yang dibuat dalam program Z15GT Care. Tombol penghidup motosikal diberikan lapisan pelindung dan pengedap (sealant), soket penting ditambah dengan plastik pelindung, manakala titik pateri pada suis kiri dan kanan juga diberikan lapisan pelindung – ini semua untuk membuatkan ia lebih tahan dengan air.
Kemudiannya, skru penutup injector juga diubah, tuil brek hadapan diberi petunjuk tahap rendah dan laluan minyak lebihan diperbaiki. Turut diperkuat adalah klip untuk panel tepi badannya.
Lain daripada itu, spesifikasi Z15GT masih sama, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder penyejukan cecair, suntikam bahan api, DOHC 149.5 cc berkuasa 16.8 hp pada 9,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang (ABS single-channel), meter LCD, fork teleskopik, monoshock (Kayaba) dengan pelarasan pra beban, lampu depan dan belakang LED, sistem kunci pintar dan soket pengecas USB. Tangki bahan api berkapasiti 5.7 liter.


Sebut harga