Bagi tempoh antara 2023 hingga 2026, sebanyak 940 syarikat kenderaan barangan dikenalpasti mempunyai lebih 20 saman tertunggak melibatkan keseluruhan 40,222 saman. Bagi kategori bas pula, lima syarikat dikenalpasti mempunyai lebih 20 saman tertunggak dengan keseluruhan 373 saman.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, jumlah itu membabitkan saman tertunggak yang direkodkan keseluruhannya bernilai RM12.18 juta.
“Jika saman berkenaan gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, JPJ menerusi kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menggantung permit syarikat terbabit. Tindakan itu juga boleh menyebabkan kenderaan syarikat berkenaan disita sekiranya didapati masih beroperasi di jalan raya selepas permit digantung.
“Buat masa sekarang kita lihat perkara ini berleluasa apabila banyak syarikat tidak mengambil peduli untuk menyelesaikan saman walaupun notis dikeluarkan. Malah, ada yang sudah dipanggil untuk menyelesaikan saman tetapi masih berdegil,” katanya menerusi laporan yang dipetik dari Berita Harian.
Tambahnya, tiada lagi ruang untuk pesalah tegar terus mengabaikan saman. “Syarikat serta pemilik kenderaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pemandu semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kenderaan dan pemandu di bawah pengurusan masing-masing sentiasa mematuhi undang-undang,”katanya.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan JPJ, KDEB Waste Management Sdn Bhd mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi dengan 3,083 saman, diikuti Majniza Mantap Sdn Bhd (889 saman). Turut disenaraikan Boon Chin Transport Sdn Bhd dengan 767 saman, Syarikat Ehsan Enterprise Sdn Bhd (482), Tashwin IT Enterprise (321) dan Cahaya Nurani Jaya Sdn Bhd (245).









