Bagi kelancaraan pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, Jalan Sultan Azlan Shah akan dilaksanakan lencongan trafik dari 12 September 2026 hingga 31 Julai 2027 bagi kerja-kerja cerucuk dan pembinaan struktur kekal.
Menurut MRT Corp, lencongan trafik selama 322 hari itu akan melibatkan jajaran berhampiran kawasan pembinaan Acre Work sehingga ke persimpangan menuju ke Perkhidmatan Teksi dan Limousin Lapangan Terbang Pulau Pinang menghala ke Teluk Kumbar.
Selain lencongan trafik di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah, penutupan jalan sementara di Jalan Magazine turut akan dilaksanakan mulai jam 10 malam pada 14 September hingga jam 5 pagi pada 5 Oktober. Langkah ini bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran jalan dan pemindahan utiliti berkaitan projek LRT Laluan Mutiara dijalankan.
Penutupan tersebut hanya melibatkan sebahagian jalan, iaitu lorong paling kiri di Jalan Magazine, di hadapan Hotel St Giles Wembley menghala ke Komtar, manakala lorong-lorong lain kekal dibuka kepada trafik.
“Papan tanda jalan raya dan kon trafik akan ditempatkan, manakala anggota pengawal trafik akan ditugaskan bagi membantu menguruskan aliran trafik serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya di laluan yang terjejas,” kata MRT Corp dalam kenyataan yang dikeluarkan.









