Imej baru Geely EX5 bagi model tahun 2027 yang dikongsikan oleh Car News China menunjukkan bahawa kenderaan elektrik (EV) tersebut bakal mempunyai ruang simpanan hadapan (frunk) yang jauh lebih besar. Laporan yang sama turut memaklumkan yang versi kemaskini itu akan membuat kemunculan sulung di China pada 21 September.
Perincian kemaskini lanjut model kembar Proton eMas 7 ini mula terdedah sejak Jun lalu, melalui dokumen yang difailkan untuk Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China. Walaupun rupa luaran EV berkenaan kelihatan hampir sama, pembaharuan utama yang dilakukan adalah melibatkan kedudukan motor yang dipasang di bahagian belakang, sekali gus menjadikannya kenderaan pacuan roda belakang.
Perubahan ini telah mengosongkan bahagian hadapannya, dan membolehkan ruang simpanan di depan dijadikan lebih luas bagi model tahun 2027 tersebut. Selain itu, ukuran dimensi keseluruhan kenderaan juga lebih besar — 4,636 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm; ini menjadikannya 21 mm lebih panjang dan 19 mm lebih lebar berbanding versi semasa, manakala jarak rodanya kekal tidak berubah.
Belum ada pengesahan tentang kapasiti ruang penyimpanan depan tersebut, namun ada tertera yang ia mampu menampung 50 kg berat maksimum. Ada juga dimaklumkan dalam laporan yang sama bawah Geely EX2 yang bersaiz lebih kecil mempunyai ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 70 liter — sebagai perbandingan.
Seperti yang dilaporkan, perubahan utama bagi model EX5 tahun 2027 ialah peralihan kepada sistem pacuan motor tunggal yang dipasang di bahagian belakang; sistem ini juga menawarkan peningkatan kuasa yang ketara, iaitu kepada 333 PS berbanding 218 PS pada model semasa.
Peralihan kepada konfigurasi motor belakang dan pacuan roda belakang ini turut boleh dilihat melalui kedudukan port pengecasan yang tidak lagi terletak di fender hadapan, selain penggunaan bateri LFP untuk model baru ini — walaupun kapasitinya masih belum didedahkan. Sebagai perbandingan, model terkini Proton eMas 7 Premium Plus yang dijual di Malaysia dilengkapi bateri LFP berkapasiti 68.39 kWh, satu peningkatan berbanding kapasiti 60.22 kWh untuk varian Premium.
Langkah pembangunan Geely E5/EX5 ini mencerminkan langkah sama yang diambil oleh BYD terhadap model Atto 3, yang turut beralih kepada pacuan roda belakang (RWD) bagi versi Evo; versi ini dilengkapi motor berkuasa 313 PS/380 Nm serta bateri 74.88 kWh yang menawarkan jarak sehingga 510 km (atau 600 km mengikut kitaran NEDC, seperti yang diumumkan oleh BYD di Malaysia).
Naik taraf kepada sistem pacuan roda belakang (RWD) bagi Geely E5/EX5 ini mungkin mengambil masa yang agak lama sebelum diaplikasikan kepada eMas 7, memandangkan model Proton itu baru sahaja menerima varian Premium Plus pada bulan Jun, selain versi pemasangan tempatan (CKD)-nya juga baru bermula pada penghujung tahun lalu.









