Marshal Moto XS250 dan Toughman 800 dilancar untuk pasaran M’sia – cruiser enjin 250 cc, 800 cc, dari RM19k

Marshal Moto membuat kemunculan pertama dalam pasaran Malaysia dengan melancarkan dua model cruiser baru iaitu XS250 dan Toughman 800. Ia masing-masing dijual pada harga RM18,800 dan RM38,800 tidak termasuk insurans.

XS250 digerakkan oleh enjin dua silinder selari penyejukan cecair, suntikan bahan api, kapasiti 248 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 25 hp pada 8,000 rpm dan tork 23.4 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

Kedua-dua rim hadapan dan belakang XS250 menggunakan saiz 16 inci, dibalut masing-masing tayar 130/90 dan 150/80, kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban. Pada kedua-dua roda ini juga terdapat brek cakera, bersama sistem ABS dual-channel. Berat keseluruhannya adalah 256 kg.

Toughman 800 pula dipacu oleh enjin lebih besar, unit dua silinder V suntikan bahan api, penyejukan cecair 799 cc, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan 48 hp pada 6,500 rpm dan tork 61.9 Nm untuk dihantar kepada roda belakang menggunakan tali sawat.

Roda hadapan menggunakan rim saiz 19 inci bersama tayar 130/70, dipegang oleh fork teleskopik, sementara bahagian belakang mendapat rim 17 inci, dengan tayar selebar 240/45. Brek cakera tunggal disediakan pada kedua-dua roda, dan ia datang sekali dengan sistem ABS dual-channel.

Informasi penting motosikal dipamerkan melalui skrin LCD berbentuk bulat dan kelengkapan lain yang disediakan adalah lampu LED hadapan dan belakang serta soket pengecas USB.Berat keseluruhan model ini adalah 256 kg.

GALERI: Marshal Moto XS250

GALERI: Marshal Moto Toughman 800

Tags: ,