Mazda CX-5 2026 – Bermaz dilapor terima 600 tempahan sebelum dilancar di Malaysia, harga sekitar RM160k

Berdasarkan laporan matlamat pasaran yang diterbitkan oleh Maybank Investment Bank (MIB), Bermaz Auto telahpun menerima 600 tempahan untuk Mazda CX-5 generasi ketiga yang bakal dilancarkan pada 8 Oktober ini.

Bermaz Auto yang merupakan pengedar rasmi kenderaan jenama Mazda di Malaysia sebelum ini telah menyatakan bahawa CX-5 generasi baharu ini akan diperkenalkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, sebelum versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan bermula “sekitar 12 hingga 16 bulan” selepas itu.

Ketika mendedahkan SUV ini buat pertama kali di KLIMS 2026 pada Jun lalu, Bermaz mengumumkan bahawa harga anggaran bagi CX-5 2026 ini adalah sekuta RM170k. Manakala laporan MIB ini pula menyebut bahawa ia akan dijual pada harga sekitar RM160k, dan versi CKD yang akan mula diproduksi pada pertengahan 2027 kelak akan dijual pada harga lebih rendah daripada itu.

Mazda CX-5 2026 – Bermaz dilapor terima 600 tempahan sebelum dilancar di Malaysia, harga sekitar RM160k

Laporan ini juga mendedadahkan bahawa Bermaz akan membawa SUV segmen-B baharu ke Malaysia sama ada pada 2027 atau 2028, berkemunginan akan dijual pada harga sekitar RM120k. Model berkenaan mungkin adalah Mazda CX-3 generasi kedua yang telah disahkan oleh Mazda bulan lalu menerusi laporan kewangan pertengahan tahunnya.

Dalam laporan itu Mazda mengesahkan bahawa CX-3 generasi baharu akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dengan rantau ASEAN, Jepun dan pasaran-pasaran lain bermula 2027, di mana Thailand akan menjadi pangkalan produksi bagi model tersebut. Buat masa sekarang Bermaz telahpun menghentikan jualan Mazda CX-3 dan Mazda 2 generasi sedia ada (kedua-duanya berkongsi asas yang sama).

GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di KLIMS 2026

Tags: