Mercedes-Benz CLA200 hybrid 2026 untuk Malaysia – 184 PS, spesifikasi sama dengan EV, dijangka RM275k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah ‘menerbangkan’ sekumpulan media tempatan ke Singapura hari ini semata-mata mahu mempertontonkan Mercedes-Benz CLA200 hybrid 2026 yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Walau bagaimana pun, model yang dipertontonkan di negara jiran kita ini bukanlah versi AMG Line. MBM turut mengumumkan bahawa versi C178 ini telah pun dibuka tempahan, menyertai C174 elektrik yang dilancarkan pada bulan lalu.

Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan iaitu CLA200 AMG Line, yang dianggarkan berharga RM275,000, hampir sama dengan harga CLA250+ electric AMG Line iaitu RM274,888. Unit bagi kumpulan pertama akan diimport sepenuhnya (CBU) sebelum pemasangan tempatan (CKD) dimulakan di Pekan, Pahang. Langkah ini dijangka membolehkan model berkenaan ditawarkan pada harga yang lebih rendah.

CLA hibrid ini dibina berasaskan Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA) yang sama seperti versi EV. Namun, berbanding sistem pacuan elektrik sepenuhnya dengan bateri berkapasiti besar, model ini menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder yang dibangunkan oleh Horse Powertrain milik Geely di China.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang sama, iaitu 1,499 cc, seperti enjin BHE15 i-GT milik Proton, kami dimaklumkan bahawa kedua-duanya bukan enjin yang sama. Enjin CLA200 ini menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 250 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.

Mercedes-Benz CLA200 hybrid 2026 untuk Malaysia – 184 PS, spesifikasi sama dengan EV, dijangka RM275k

Enjin empat-silinder ini dipadankan dengan sistem hibrid 48 voltan yang merangkumi motor elektrik berkuasa 30 PS bagi membantu pecutan, sekali gus meningkatkan output keseluruhan sistem meningkat ke 184 PS dan 330 Nm. Dengan gabungan kuasa tersebut, CLA200 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam lapan saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 232 km/j.

Sistem rangkaian kuasa ini pada asasnya merupakan sistem mild hybrid, namun CLA200 mempunyai keupayaan untuk bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada beban rendah. Keseluruhan sistem ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar 8F-eDCT lapan-kelajuan, dengan motor elektrik berupaya melakukan pemulihan tenaga sehingga 25 kW merentasi kesemua lapan gear.

Berbeza dengan versi EV yang menggunakan pacuan roda belakang, model hibrid ini menggunakan pacuan roda hadapan (FWD), dengan penggunaan bahan api gabungan di bawah 5.0 liter bagi setiap 100 km.

Selain perbezaan mekanikal yang ketara, reka bentuk luaran versi hibrid ini hampir sama sepenuhnya dengan model EV. Perbezaan utama ialah gril terbuka dengan satu bilah melintang, dan elemen pin berbentuk bintang tiga penjuru. Selebihnya, anda masih mendapat reka bentuk coupé empat pintu yang anggun dengan permukaan badan beralun organik, serta lampu hadapan dan lampu belakang yang bersambung merentasi keseluruhan lebar badan. Kedua-duanya turut menampilkan elemen bintang bercahaya yang agak menyerlah.

Mercedes-Benz CLA200 hybrid 2026 untuk Malaysia – 184 PS, spesifikasi sama dengan EV, dijangka RM275k

Mercedes-Benz Malaysia berkata bahawa versi hibrid ini akan menawarkan kelengkapan yang sama seperti model EV. Memang berbeza dengan CLA180 spesifikasi Singapura yang begitu asas termasuk menggunakan penutup but manual, namun CLA200 untuk pasaran Malaysia akan ditawarkan dalam kemasan AMG Line, lengkap dengan lampu utama Multibeam LED serta rim aloi AMG lima-jejari berkembar 19-inci yang tampak bergaya.

Di dalam kabinnya, CLA200 menampilkan papan pemuka yang seolah-olah membentuk dinding menegak, menjadi latar kepada sistem MBUX Superscreen. Ciri ini ditawarkan sebagai kelengkapan standard di Malaysia, yang tidak dipaparkan pada model yang dipamerkan ini. MBUX Superscreen merangkumi paparan instrumen digital 10.25-inci serta dua skrin sentuh 14-inci, termasuk satu skrin khusus untuk penumpang hadapan.

Dengan pakej AMG Line, CLA200 turut dilengkapi stereng kulit Nappa dua-jejari dengan bahagian bawah rata, serta suis fizikal jenis rocker dan roller baharu yang melengkapkan butang sentuh kapasitif sedia ada. Turut ditawarkan ialah tempat duduk sport dengan larasan kuasa dan fungsi memori, dibaluti kemasan kulit sintetik Artico berwarna hitam dan mikrofiber Dinamica, selain alas kaki AMG serta pedal aloi.

Mercedes-Benz CLA200 hybrid 2026 untuk Malaysia – 184 PS, spesifikasi sama dengan EV, dijangka RM275k

Antara kelengkapan standard lain termasuk passive comfort suspension, pendingin hawa automatik dwi-zon, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, sistem navigasi dengan augmented reality (AR), bumbung kaca panoramik dengan lapisan penebat haba (tetapi tanpa pelindung matahari) serta pencahayaan ambien 64-warna.

Turut disediakan ialah pra-pemasangan fungsi kunci digital telefon pintar, pengecas tanpa wayar Qi, kamera dalaman untuk swafoto dan rakaman video, sistem audio dengan lapan pembesar suara, fungsi bantuan parkir, sistem kamera 360-darjah serta penutup but berkuasa elektrik dengan fungsi buka bebas tangan.

Dari aspek keselamatan, CLA200 diberikan lapan beg udara, termasuk beg udara lutut untuk pemandu dan beg udara tengah, serta pakej sistem bantuan pemanduan MB.Drive Standard. Pakej ini merangkumi brek kecemasan sendiri, bantuan stereng mengelak, kawalan jelajah adaptif Distronic dengan fungsi stop-and-go, pengurangan kelajuan ketika melalui selekoh, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan fungsi mengelak pelanggaran, pengecaman papan tanda trafik, bantuan berhenti kecemasan serta fungsi AEB ketika parkir.

Bagaimanapun, CLA masih belum menawarkan fungsi pemanduan separa sendiri Tahap 2 sebagai kelengkapan standard kerana ia tidak dilengkapi fungsi mengekalkan kedudukan di tengah lorong serta pertukaran lorong secara sendiri. Kedua-dua fungsi tersebut merupakan sebahagian daripada pakej MB.Drive Assist, yang memerlukan langganan berbayar pada harga yang agak tinggi, iaitu RM169 sebulan (bulan pertama percuma), RM1,690 setahun atau RM4,059 untuk tempoh tiga tahun.