Suzuki Juru kini dibuka secara rasmi – bilik pameran 1S dikendali SMG Auto di Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Pengedar kereta Suzuki di Malaysia, Naza Eastern Motors hari ini mengumumkan bahawa jaringan pengedar di kawasan utara Malaysia iaitu Suzuki Juru kini telahpun beroperasi secara rasmi. Fasiliti bertaraf 1S (Jualan) tersebut dikendalikan SMG Auto (MN) Sdn Bhd di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menampilkan sebuah bilik pameran berkeluasan 1,600 kaki persegi, dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM1 juta.

Fasiliti tersebut terletak di No. 3 (GF), Jalan Sentral Jaya, Pusat Perdagangan Sentral Jaya, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ia dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, dan boleh mempamerkan sebanyak tiga unit kereta dalam satu-satu masa, serta dilengkapi dengan ruang lounge untuk pelanggan.

“Pembukaan pengedar Suzuki Juru menandakan satu lagi langkah penting dalam mengukuhkan kehadiran Suzuki di wilayah utara. Pelaburan untuk pengedar baharu ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pasaran dan komitmen kami untuk menyediakan pelanggan dengan aksesibiliti yang lebih baik kepada kenderaan Suzuki,” kata CEO Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan.

Bagi pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat servis selepas jualan, mereka boleh berkunjung pusat servis Suzuki Bayan Lepas, yang terletak di Jalan Sungai Tiram 7, Pulau Pinang. Ia dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang, dan hari Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 petang. Pusat servis ini ditutup pada hari Ahad dan juga cuti-cuti kelepasan am.

“Juru dan Bukit Mertajam merupakan kawasan strategik yang penting dengan populasi yang semakin meningkat serta mempunyai keterhubungan yang baik, dan kami melihat potensi yang besar dalam mendekatkan jenama Suzuki kepada pelanggan di sini,” tambah Rizal.

Dengan pembukaan Suzuki Juru ini, Naza Eastern menyatakan bahawa Suzuki kini mempunyai 14 outlet jualan yang sah dan 13 pusat servis bertauliah di seluruh negara, dan ia akan dikembangkan lagi ke seluruh Malaysia.