
Oliver Solberg (SWE), Elliott Edmondson (GBR) Of team TOYOTA GAZOO RACING WRT celebrate on the podium in first place after winning the WRC Rally1 category at Rally Chile Biobío in Concepción, Chile on 13.09.2026 with Sébastien Ogier (FRA), Vincent Landais (FRA) Of team TOYOTA GAZOO RACING WRT in second place and Adrien Fourmaux (FRA), Alexandre Coria (FRA) Of team HYUNDAI SHELL MOBIS WORLD RALLY TEAM in third place. // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202609131203 // Usage for editorial use only //
Toyota sekali lagi dinobatkan sebagai juara kategori Pengeluar Kejohanan Rali Dunia (WRC) setelah menamatkan pusingan ke-12 WRC tahun ini iaitu Rally Chile 2026 hujung minggu lalu dengan kemenangan 1-2 menerusi pemandunya iaitu Oliver Solberg dan Sebastien Ogier. Sama seperti tahun lalu, kejayaan ini dikecapi ketika kejuaraan masih lagi berbaki dua pusingan, iaitu Rally Italia Sardegna yang akan berlangsung bulan depan dan Rally Saudi Arabia yang dijadualkan berlangsung pada November.
Ini juga merupakan gelaran juara Pengeluar WRC kali keenam berturut-turut yang dirangkul oleh Toyota sejak 2021. Secara keseluruhan Toyota kini telah merangkul sebanyak 10 gelaran juara Pengeluar WRC (termasuk 1993,1994,1999 dan 2018), menyamai rekod pasukan paling berjaya dalam kejohanan tersebut iaitu Lancia.
Oliver Solberg yang memandu Toyota GR Yaris Rally1 yang dibantu oleh juruarah Elliott Edmondson menamatkan Rally Chile 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 13 September itu dengan masa keseluruhan 2 jam 57 minit dan 08.2 saat. Pemandu Sweden berumur 24-tahun itu menewaskan rakan sepasukan yang juga juara dunia WRC sembilan kali, Sebastien Ogier dengan kelebihan 16.6 saat di belakang, diikuti pemandu pasukan Hyundai, Adrien Fourmaux yang tertinggal 33.3 saat.
Solberg memulakan cabaran pada Hari Jumaat dengan menang SS1, namun kedudukan berkenaan dirampas oleh seorang lagi pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) iaitu Elfyn Evans pada hari Sabtu bermula pada SS2. Walau bagaimanapun Solberg mula menguasai semula rali di atas permukaan berbatu dan cuaca yang tidak menentu ini pada Hari Ahad. Malah Evans turut tidak bernasib baik kerana terpaksa berhenti untuk menukar tayar pada SS kedua terakhir, menyebabkan beliau kehilangan masa lebih dari dua minit, dan menamatkan rali ini hanya pada kedudukan kelima keseluruhan.
“Ini merupakan hujung minggu yang sukar untuk dipercayai. Ia ada turun dan naik, tetapi pasukan sentiasa menyokong, sentiasa mendesak dan sentiasa percaya. Akhirnya sedikit nasib baik berpihak pada saya, dan saya boleh fokus terhadap kerja saya dan jalankan kewajipan saya. Perkara-perkara kecil turut diambil berat, dan hujung minggu ini merupakan hujung minggu yang sempurna,” kata Oliver Solberg yang juga anak kepada juara WRC 2002, Petter Solberg.
“Ini merupakan perasaan yang hebat untuk sekali lagi merangkul kejuaraan pengeluar dengan pasukan ini. Saya terlibat dalam beberapa kejuaraan yang dikecapi Lancia sebagai pemandu, dan beberapa gelaran juara terawal Toyota, tetapi saya sangat untuk menjadi sebahagian dari pasukan ini sekarang. Suasana dalam pasukan dan cara semua orang bekerjasama adalah hebat, juga dengan pemandu kami: apabila mereka berada di atas SS, mereka saling bersaing dan berusaha keras untuk mendapatkan hasil terbaik, tetapi mereka juga saling membantu dan membantu pasukan dengan sangat baik,” kata naib prinsipal pasukan TGR-WRT, Juha Kankkunen.

Oliver Solberg (SWE), Elliott Edmondson (GBR) Of team TOYOTA GAZOO RACING WRT seen during the World Rally Championship in Conception, Chile on 13.09.2026 // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202609131169 // Usage for editorial use only //
Walaupun juara Pengeluar sudahpun disahkan milik Toyota, gelaran juara WRC untuk pemandu pula dijangka hanya akan ditentukan dalam baki dua pusingan lagi. Ini kerana kedudukan bagi tiga pemandu teratas sangat hampir antara satu sama lain, namun ketiga-tiganya merupakan pemandu pasukan Toyota.
Elfyn Evans kini mendahului dengan pungutan 230 mata, diikuti Sami Pajari dari Finland dengan 213 mata, dan Oliver Solberg berada di tempat ketiga dengan 209 mata. Evans perlu mendahului sekurang-kurangnya 36 mata sekiranya dia mahu dinobatkan sebagai juara WRC 2026 lebih awal iaitu di Itali pada 1 hingga 4 Oktober nanti.







