Caltex Malaysia sambut ulang tahun ke-90 dengan raikan kisah enam kakitangan yang telah lama berkhidmat

Sempena meraikan ulang tahun ke-90, Caltex memberi penghargaan kepada enam kakitangan veteran yang sejak sekian lama telah menjadi tonggak kekuatan syarikat.

Seorang daripadanya ialah Ts. Amanina Mohamad Rozi, yang telah berkhidmat dengan Caltex Malaysia selama 22 tahun. Sebagai pakar keselamatan dan kesihatan tenaga kerja yang menyokong operasi rantau Asia-Pasifik, graduan kejuruteraan kimia itu melaksanakan perancangan keselamatan, menguruskan kontraktor, memeriksa kesediaan peralatan serta menilai risiko bagi memastikan langkah kawalan yang sewajarnya dilaksanakan.

“Budaya keselamatan yang sebenar bermula apabila setiap suara diambil kira. Sama ada anda seorang kontraktor, pengendali, penyelia, jurutera mahupun pengurus, setiap individu harus mempunyai keberanian untuk berkata: ‘Berhenti, keadaan ini tidak selamat’,” ujarnya.

Ini diikuti pula oleh Yang Way Han, yang memulakan kerjayanya di terminal Caltex Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada tahun 1988 sebagai pekerja am yang mengendalikan operasi intensif tenaga kerja. “Ia membuka mata saya. Tugas itu menuntut kekuatan fizikal, dan mengajar saya untuk tidak memandang ringan erti kehidupan serta sentiasa memberikan sokongan dengan apa jua cara yang termampu,” ujarnya.

Kini, Yang merupakan penyelia operasi bagi terminal usaha sama (JV) Pasir Gudang, memimpin pasukan dalam memastikan penghantaran bahan api dilakukan dengan selamat dan boleh dipercayai ke lebih 80 stesen Caltex di seluruh wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

Haji Che Din Mohamad pula merupakan pemilik tiga buah stesen Caltex di Kelantan. Beliau membina stesen pertamanya pada tahun 1987 selepas meninggalkan kerjaya dalam perkhidmatan awam. Sepanjang beberapa dekad, Che Din telah menjalin hubungan yang erat dengan masyarakat setempat dan telah menyaksikan perubahan ketara berkait jangkaan pelanggan.

Caltex Malaysia sambut ulang tahun ke-90 dengan raikan kisah enam kakitangan yang telah lama berkhidmat

“Memang ada kalanya saya berasa buntu, terutamanya apabila berdepan dengan pelbagai halangan operasi seperti cabaran tenaga kerja, tuntutan menguruskan stesen, tekanan untuk mencapai sasaran jualan, serta faktor-faktor lain di luar kawalan. Namun, apa yang menguatkan semangat saya ialah sokongan padu daripada kakitangan, pegawai Caltex, dan keluarga saya,” katanya.

Di stesen Caltex Pekan Lama, Sungai Petani, seorang juruwang yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Harchana Narainasamy, mengendalikan kesibukan waktu pagi seperti biasa: melayan pelanggan dengan layanan yang mesra dan ikhlas, serta turut meluangkan masa untuk melatih kakitangan baru apabila diperlukan. Beliau telah menjadi sebahagian daripada keluarga Caltex Malaysia selama lebih lapan tahun.

“Saya sentiasa memastikan pelanggan mendapat bantuan yang diperlukan, memberikan penerangan yang jelas, dan bertindak pantas jika timbul sebarang masalah. Apabila pelanggan membalas dengan senyuman dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, itu memberikan kepuasan yang amat bermakna buat saya,” ujarnya.

Di stesen Caltex Setiawangsa, Kuala Lumpur, seorang pembantu am, Md Hanis Ariffin adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kebersihan, keselamatan dan menguruskan aliran trafik. Sebagai seorang pekak dan bisu, beliau pada mulanya mendapati tugas yang memerlukan komunikasi lisan sebagai satu cabaran, namun rakan-rakan sepasukannya sentiasa bersedia membantu.

Anggukan tanda penghargaan daripada pemandu, senyuman mesra, serta isyarat tangan bermaksud ‘terima kasih’ merupakan antara perkara yang menceriakan hari beliau.

Rakan niaga yang telah lama bekerjasama juga merupakan sebahagian daripada keluarga Caltex Malaysia. Salah satunya ialah Kumpulan Chop Yew Lee yang telah beroperasi selama setengah abad — Caltex merupakan pembekal pertama mereka — dan kini mengedarkan pelincir serta diesel Caltex.

Caltex Malaysia sambut ulang tahun ke-90 dengan raikan kisah enam kakitangan yang telah lama berkhidmat

“Sebagai generasi kedua, saya berbangga dapat meneruskan legasi yang telah dibangunkan oleh ibu bapa melalui usaha gigih, berintegriti dan penuh kepercayaan,” ujar Pengurus Besar Kumpulan Chop Yew Lee, Celine Khong.

“Pada masa yang sama, saya percaya adalah penting untuk mengimbangi tradisi dengan inovasi. Walaupun kami menghargai prinsip-prinsip yang telah memacu perniagaan kami sejak 50 tahun lalu, kami juga mesti menerima pakai teknologi baru, menerapkan transformasi digital serta memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah agar kekal relevan dalam pasaran yang terus berkembang,” tambah beliau.

“Sambil kita menyoroti perjalanan pertumbuhan selama sembilan dekad, kami meraikan warga kerja dan tonggak organisasi yang telah mencorakkan perjalanan Caltex Malaysia, serta berhasrat untuk ‘Menggerakkan Setiap Generasi’ ke arah masa depan yang lebih cerah, selaras dengan slogan kami, “Drive Happiness Further”,” ujar Pengerusi Negara Caltex Malaysia, Leong Jee Wong.