Men. Kewangan II Amir Hamzah tinjau kilang Inokom di Kulim; 100% staf tempatan, RM3 bilion untuk vendor

Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telahpun melawat kilang Inokom milik Sime Motors semalam, menurut hantaran yang dibuat di laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan (MoF).

Hantaran tersebut menyebut bahawa kilang berkenaan merupakan hab pemasangan automotif seluas 200 ekar yang kini menghimpunkan tujuh jenama dan kini memasang sebanyak 29 model, dengan lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi dengan kadar eksport mencecah 20%.

Antara yang menjadi tumpuan di kilang tersebut adalah termasuk fasiliti pemasangan Porsche pertama di luar Eropah, di mana ia mula dipasang di kilang berkenaan pada Mac 2022 dalam versi sebelum diberikan facelift. Fasiliti tersebut kemudiannya diperluas kepada 11,000 m² pada 2024 bagi pemasangan Cayenne S E-Hybrid Coupé, dan buat masa sekarang ia memghasilkan Porsche Cayenne E3.

Selain membekalkan kenderaan untuk pasaran tempatan, Porsche Cayenne yang dipasang di kilang itu turut dieksport ke Thailand. Dan menurut MoF, sehingga Mac 2026 sebanyak 5,000 unit Porsche Cayenne telah disiapkan di Kulim oleh 100% rakyat tempatan.

Men. Kewangan II Amir Hamzah tinjau kilang Inokom di Kulim; 100% staf tempatan, RM3 bilion untuk vendor

Antara tenaga kerja yang terlibat adalah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019, dan kemudian menyertai Inokom sebagai jurutera proses, sehinggalah kini di mana beliau mengetuai bahagian kejuruteraan di Porsche Production Plant, kata MoF dalam hantaran tersebut.

Selain pengembangan bakat di dalam kilang, manfaat kewujudan fasiliti berkenaan turut mengalir kepada ekosistem industri automotif tempatan, dengan kira-kira RM3 bilion sumbangan kepada vendor tempatan merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan, menurut kementerian itu lagi.

“Pertumbuhan syarikat tempatan bersama pengeluar global ini mencerminkan kesan pengganda yang ingin dipacu melalui pendekatan capital-to-capabilities melalui program Gear-Up di bawah kerangka Ekonomi Madani: memperkukuh sektor strategik, memindahkan pengetahuan, membangunkan bakat Malaysia dan membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai. Inilah usaha untuk menaikkan siling ekonomi sambil menaikkan lantai rakyat melalui pekerjaan, kemahiran dan peluang yang lebih baik,” jelas hantaran tersebut.