Perodua, Tan Chong tandatangan perjanjian tiga-tahun untuk QV-E di Serendah — khidmat pemasangan, cat

Susulan daripada termeterainya letter of intent (LOI) pada bulan November, Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) dan Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) telah menandatangani perjanjian tiga tahun untuk Tan Chong menyediakan perkhidmatan electro-deposition coating dan mengecat, serta sewaan dan kemudahan pemasangan kenderaan yang khusus di kilang syarikat itu di Serendah bagi model Perodua QV-E; demikian menurut laporan The Star yang memetik makluman pemfailan berkaitan di Bursa Malaysia.

“TCMA akan menyediakan perkhidmatan electro-deposition coating dan mengecat, serta menyewakan perkhidmatan kemudahan pemasangan khusus, tertakluk kepada pembayaran yuran perkhidmatan dan caj sewaan oleh PSSB,” menurut makluman tersebut.

Perodua, Tan Chong tandatangan perjanjian tiga-tahun untuk QV-E di Serendah — khidmat pemasangan, cat

Perjanjian ini berkuat kuasa selama tiga tahun, bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2029. Perodua mempunyai pilihan untuk melanjutkan perjanjian tersebut bagi tempoh dua tahun lagi dengan mengemukakan notis bertulis sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tempoh asal berakhir.

PSSB akan bertanggungjawab untuk mendapatkan serta mengekalkan kelulusan, permit, dan lesen yang diperlukan, mematuhi undang-undang serta keperluan kawal selia bagi pembuatan kenderaan elektrik (EV), serta menyelenggara dan mendapatkan perlindungan insurans yang mencukupi bagi peralatan projek tersebut.