Persaingan SUV lasak berbentuk kotak di China kini semakin sengit dengan kemunculan model baru daripada GAC, iaitu Yue 7. SUV plug-in hybrid (PHEV) ini dibangunkan untuk bersaing secara langsung dengan BYD Fangchengbao Tai 7, selain hadir dengan reka bentuk yang jelas menonjolkan imej sebuah kenderaan lasak. Ia menampilkan badan berkotak dengan lengkuk roda lebar, lampu utama berbentuk segi empat, pintu but buka ke tepi dan pemegang pintu konvensional.
Dari segi saiz, Yue 7 bukanlah sebuah SUV kecil kerana ia berukuran 5,045 mm panjang, 2,004 mm lebar dan 1,933 mm tinggi, dengan jarak roda 2,900 mm. Kelegaan tanah standard ialah 230 mm, namun angka itu boleh ditingkatkan sehingga 310 mm menerusi sistem suspensi udara yang ditawarkan sebagai pilihan. Ini membolehkan Yue 7 mempunyai keupayaan lebih baik ketika meredah laluan yang tidak rata.
Kuasa datang daripada enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan 125 kW (170 PS), digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 205 kW (279 PS) yang memacu roda hadapan. Bagi versi pacuan semua roda (AWD), satu lagi motor elektrik berkuasa 220 kW (299 PS) dipasang pada gandar belakang. Versi pacuan hadapan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat, manakala varian AWD hanya memerlukan 4.2 saat.
GAC menawarkan dua pilihan bateri berkapasiti 28.3 kWh dan 50 kWh, dengan jarak pemanduan elektrik antara 161 hingga 261 km mengikut kitaran CLTC. Mengikut piawaian WLTC pula, jaraknya adalah antara 132 hingga 214 km. Walaupun menggunakan binaan unibody, Yue 7 tetap dilengkapi beberapa ciri yang membolehkannya menghadapi laluan off-road, termasuk keupayaan untuk terus bergerak apabila hanya satu roda berada di permukaan tanah, manakala tiga roda lain terangkat.
Di dalam kabin, Yue 7 menawarkan susun atur lima tempat duduk dengan paparan panoramik sepanjang 1.1 meter yang merentasi papan pemuka, bersama skrin sesentuh utama berukuran 15.6 inci. Menariknya, GAC masih mengekalkan beberapa butang fizikal, berbanding bergantung sepenuhnya kepada kawalan skrin sentuh.
Tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan sehingga 127 darjah, manakala ruang kargo menawarkan kapasiti 745 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,860 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Untuk ciri bantuan pemanduan, Yue 7 menggunakan sistem ADiGO 3.0 dengan 27 penderia. Ia turut boleh dilengkapi LiDAR 192-line yang dipasang pada bumbung sebagai pilihan, membolehkan fungsi pemanduan bantuan seperti navigasi dengan kawalan automatik. Bagaimanapun, sistem ini masih dikategorikan sebagai pemanduan autonomous Tahap 2, jadi pemandu perlu kekal memantau keadaan serta mengawal kenderaan pada setiap masa.
Yue 7 juga tidak akan kekal sebagai model khusus untuk pasaran China. Bagi pasaran antarabangsa, SUV ini akan dijual menggunakan nama GAC XT80 dan telah membuat kemunculan sulung di luar China di Abu Dhabi, menjelang pelancarannya di rantau Timur Tengah. Ia juga merupakan model off-road pertama GAC yang dibawa ke pasaran antarabangsa.
Setakat ini, GAC masih belum mendedahkan sama ada XT80 akan ditawarkan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan atau memasuki pasaran Malaysia. Namun, jenama itu sudah mempunyai asas operasi tempatan menerusi Tan Chong, yang kini memasang GAC GS3 Emzoom secara pemasangan tempatan (CKD). Tan Chong juga sebelum ini menyatakan bahawa model kenderaan tenaga baru pemasangan tempatan bakal diperkenalkan, jadi masih ada kemungkinan SUV besar ini turut dipertimbangkan untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang.










GAC M8
dari RM328,800
GAC Emkoo
dari RM123,800
GAC GS3
dari RM103,800